ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 8 Julai 2026.
1. Sultan Selangor tidak perkenan solat Jumaat di surau pusat beli-belah - MAIS
Majlis Agama Islam Selangor telah dimaklumkan bahawa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak memberikan perkenan untuk mana-mana surau atau musala di pusat beli-belah di negeri itu, diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
2. Anggota tentera maut letupan grenad dinaikkan pangkat secara anumerta
Anggota Tentera Darat Malaysia Allahyarham Prebet Siti Khadijah Sungip yang terkorban dalam insiden letupan bom tangan bulan lepas dinaikkan pangkat kepada Lans Koperal secara anumerta.
3. Tiada campur tangan pihak luar dalam pelantikan kepimpinan ATM - Khaled
Pelantikan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia dilaksanakan secara profesional dan objektif tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh pihak luar, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
4. Peranan guru semakin terbatas punca kes buli meningkat – Zulkifli
Peranan guru yang semakin terbatas untuk bertindak dan mendidik dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes buli, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
5. Jurujual dipenjara 10 tahun, dua sebatan tetak penunggang motosikal
Seorang jurujual dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang penunggang motosikal menggunakan sebilah pisau pemotong daging dalam kejadian di Lebuhraya Persekutuan, bulan lepas.
6. Kerajaan lulus pelepasan cukai TAR UMT bagi tempoh 10 tahun - Fahmi
Kerajaan bersetuju meluluskan pelanjutan tempoh pelepasan cukai kepada Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) bagi tempoh 10 tahun.
7. Mahkamah batal saman tiga bekas wakil rakyat berhubung keputusan Speaker DUN Perlis
Mahkamah Tinggi pada Rabu membatalkan saman pemula yang difailkan oleh tiga bekas wakil rakyat terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus’sele Eizan kerana mengisytiharkan kekosongan luar jangka bagi kerusi mereka.
8. Kerajaan kekal had umur persaraan penjawat awam 60 tahun - Fahmi
Kerajaan memutuskan tiada keperluan untuk meningkatkan had umur persaraan penjawat awam buat masa ini, kata jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
9. Kes Yayasan Akalbudi: Permohonan Zahid, AG untuk kebenaran merayu didengar 8 Oktober
Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 Okt ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara (AG) bagi kebenaran merayu terhadap perintah Mahkamah Rayuan yang membenarkan Majlis Peguam memulakan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan pendakwaan untuk menghentikan kes rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi.
10. Malaysia rekod ketibaan 17.5 juta pelawat antarabangsa pada Jan-Mei 2026, naik 3.4 peratus
Malaysia merekodkan ketibaan 17.5 juta pelawat antarabangsa dalam tempoh Januari hingga Mei, meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya didorong oleh permintaan kukuh daripada pasaran utama walaupun berdepan cabaran geopolitik global.