Skip to main content

Malaysia

Tiada campur tangan pihak luar dalam pelantikan kepimpinan ATM - Khaled

Mohamed Khaled Nordin kredit: JaPen
Mohamed Khaled berkata, selepas dipersetujui di peringkat Majlis Angkatan Tentera, syor pelantikan akan diangkat untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. - Gambar fail/JaPen
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pelantikan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan secara profesional dan objektif tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh pihak luar, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menegaskan, proses pelantikan itu berlandaskan prinsip tadbir urus institusi yang kukuh serta peruntukan undang-undang sedia ada, selain dilaksanakan secara teratur dan berintegriti menerusi Majlis Angkatan Tentera (MAT), selaras dengan Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, ATM terlebih dahulu mengenal pasti dan menyenaraikan calon yang layak berdasarkan merit, integriti, kompetensi, pengalaman, kelayakan serta keperluan jawatan berkaitan.

Katanya, semua pertimbangan dan keputusan berkaitan pelantikan dibuat secara kolektif oleh MAT yang dianggotai Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, ketiga-tiga Panglima Perkhidmatan, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera, Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) serta wakil Raja-Raja.

"Mekanisme ini berfungsi sebagai semak dan imbang bagi memastikan setiap pelantikan dibuat secara telus, adil dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat kepada soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) yang meminta penjelasan berhubung dakwaan peralihan kepimpinan ATM dipengaruhi pihak luar.

Mohamed Khaled berkata, selepas dipersetujui di peringkat MAT, syor pelantikan akan diangkat untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau, pelantikan pucuk pimpinan ATM dilaksanakan mengikut kerangka perundangan dan institusi yang ditetapkan, selain menepati prinsip profesionalisme serta kedaulatan undang-undang.

Pada masa sama, beliau memberitahu, peralihan kepimpinan ATM turut dipengaruhi faktor tadbir urus dan dasar semasa, termasuk penilaian terhadap kepentingan keselamatan negara serta pelaksanaan reformasi integriti.

Katanya, walaupun ATM mempunyai perancangan penggantian kepimpinan, pelaksanaannya tetap tertakluk kepada kelulusan kerajaan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Must Watch Video

Advertisement