MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Selasa, 6 Oktober 2020.
Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini atas pertuduhan membunuh seorang rakannya pada 14 September lalu.
A.S Sitambarasan, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Seorang pesara tentera dipenjara 13 tahun dan enam sebatan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak saudara perempuannya ketika berusia 6 tahun, tujuh tahun lalu.
Hakim, Norma Ismail menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh, yang berusia 48 tahun, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas tiga pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang juga orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran, bulan lalu.
Tertuduh, Jaafar Omar, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Norma Ismail.
Setelah hampir tiga minggu menerima rawatan, mangsa yang terselamat akibat keracunan karbon monoksida ketika tertidur di dalam kereta di Butterworth, Pulau Pinang dibenarkan keluar dari hospital hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, dibenarkan keluar dari wad di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan selepas selesai menjalani pemeriksaan mata.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 691 kes baharu penularan jangkitan COVID-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam tempoh yang sama, Kedah merupakan negeri yang mencatatkan jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 397 kes.
Seorang bayi perempuan warga tempatan berusia setahun merupakan salah seorang daripada empat jumlah korban terbaharu akibat COVID -19 yang direkodkan pada Selasa.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noo Hisham Abdullah, kes kematian ke-140 itu telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober lalu.
“Maaflah jika Abah ini mula menggunakan 'rotan'!” tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, selepas ini hukuman kompaun akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19.
Setakat ini kerajaan hanya memutuskan untuk menutup sekolah di kawasan zon merah iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna di Sabah.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang peka dengan kebimbangan ibu bapa di kawasan lain yang tidak terbabit dengan penutupan sekolah, memberi jaminan Kementerian Pendidikan sentiasa memantau keadaan COVID-19 di sekolah di seluruh negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca peningkatan mendadak kes COVID-19 di Malaysia.
Menurutnya, PRN itu terpaksa diadakan selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 30 Julai lepas.
Restoran Huckleberry Damansara Heights di sini, mengesahkan seorang pembantu dapurnya dijangkiti COVID-19, sekali gus menyebabkan premis berkenaan ditutup sementara untuk proses disinfeksi hari ini.
Pihak pengurusannya, Huckleberry Hospitability Group memaklumkan pekerja tersebut tidak hadir bertugas dan tidak berjumpa dengan mana-mana rakan sekerja yang lain sejak 30 September lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami