Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Khairunnisa Kasnoon
November 13, 2020 14:09 MYT
November 13, 2020 14:09 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 13 November 2020.
Lelaki yang memandu Perodua Axia melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan tiga buah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada Rabu direman tiga hari untuk membantu siasatan.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan di Mahkamah Majistret Tapah pada Jumaat.
Kes positif COVID-19 kembali kepada empat angka dengan sebanyak 1,304 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 45,095 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, terdapat empat kes import dilaporkan melibatkan warganegara yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Semua yang terjejas akibat pandemik COVID-19 akan menerima bantuan, demikian menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus sambil menafikan salah tanggapan mengenai bantuan bayaran balik pinjaman bersasar.
"Salah tanggapan umum ialah tanpa moratorium menyeluruh, peminjam yang dalam kesusahan tidak akan menerima bantuan (sebaliknya) bantuan itu adalah untuk semua yang terjejas akibat pandemik itu termasuk lanjutan moratorium," katanya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, kini menjalani kuarantin kendiri di rumah selepas disahkan sebagai salah seorang kontak rapat dengan pesakit COVID-19 sewaktu bertugas.
Menerusi maklumat ringkas kepada media, Nik Ezanee memaklumkan beliau kini menjalani kuarantin kendiri sehingga 23 November depan.
Sekurang-kurangnya 19 individu telah menyerah diri selepas didapati tidak pulang ke kediaman mereka ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang bermula pada Khamis.
Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Seorang lagi lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan tempatan berumur 15 tahun, bulan lepas.
Mohammad Hassan Mohammad Rafik, 24, pengawal keselamatan, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Setiap bakal pengantin dan rombongan yang datang dari luar Pahang perlu mengemukakan keputusan ujian Antigen Rapid Test Kid (RTK-Ag) COVID-19 yang dibuat dalam tempoh 72 jam sebelum majlis akad nikah berlangsung di negeri ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Dr Zulkifle Ali berkata ujian tersebut boleh dibuat di mana-mana kemudahan kesihatan kerajaan atau swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan termasuk di negeri asal individu terlibat.
Selepas mempertimbangkan keluhan daripada banyak pihak, kerajaan bersetuju untuk membenarkan tiga orang daripada satu keluarga berada dalam sebuah kereta ketika keluar rumah.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu sama seperti yang diberikan kepada kenderaan e-hailing dan teksi.
SAMPAI bila? Itu persoalan yang sehingga kini masih tiada jawapan.
Insiden pencemaran sungai seolah-olah tiada noktah, ditambah pula situasi hari ini apabila berlaku pembangunan pesat di kawasan hulu sungai.
Masalah capaian internet yang lemah bukan sahaja menjadi masalah utama dalam kalangan pelajar-pelajar di kawasan pedalaman Sabah seperti yang tular beberapa bulan lalu.
Malah di Kampung Tembak B, Baling, Kedah, sekumpulan mahasiswa dari beberapa universiti awam dan swasta turut mengalami masalah sama khususnya dalam melaksanakan sesi pembelajaran secara atas talian.