KUALA LUMPUR:Selepas mempertimbangkan keluhan daripada banyak pihak, kerajaan bersetuju untuk membenarkan tiga orang daripada satu keluarga berada dalam sebuah kereta ketika keluar rumah.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu sama seperti yang diberikan kepada kenderaan e-hailing dan teksi.

“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk memberi kelonggaran iaitu tiga orang untuk satu kenderaan. Ini samalah seperti e-hailing, teksi... satu tambah dua, iaitu dua penumpang dan satu pemandu.

“Oleh kerana kita benarkan dua tambah satu dalam e-hailing, iaitu tiga orang dalam setiap kenderaan awam, maka kita samakan jumlah, tiga orang untuk setiap kenderaan.

“Ini sebenarnya (dibuat selepas) mendengar pandangan dan juga permohonan daripada orang ramai di luar sana yang mahu kelonggaran (untuk) tambah penumpang dalam kenderaan persendirian dari rumah yang sama,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.