ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad, 13 Disember 2020.

1) Kerajaan bercadang tambah pembelian vaksin hingga 70 peratus - Muhyiddin

Kerajaan bercadang meningkatkan pembelian vaksin COVID-19 agar dapat menampung keperluan imunisasi hingga 70 peratus rakyat berbanding kuantiti asal sebanyak 30 peratus, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini kerana ada negara yang sudah membeli vaksin itu dengan sesetengahnya memperoleh dalam kuantiti yang banyak melebihi jumlah penduduk mereka sendiri.

2) COVID-19: 1,229 kes dan 6 kluster baharu, 4 kematian dicatat hari ini

Malaysia merekodkan 1,229 kes baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 83,475 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah 1,227 kes.

3) Ikut SOP ditetapkan, golongan rentan tidak digalakkan rentas negeri - Pakar Kesihatan Awam

Golongan rentan terutamanya warga emas tidak digalakkan merentas negeri, meskipun larangan ke atas aktiviti itu telah ditarik semula oleh kerajaan sejak 7 Disember lalu.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani, ia sebagai langkah melindungi golongan berisiko tinggi itu daripada terdedah jangkitan COVID-19.

4) COVID-19: Beberapa ahli Parlimen kerajaan, pembangkang jalani kuarantin di rumah

Minggu terakhir sidang Dewan Rakyat menyaksikan beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dikenakan Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas menjadi kontak rapat individu positif COVID-19.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan perkara itu namun tidak dapat memperincikan jumlah mereka yang terlibat.

5) Tempoh kuarantin wajib dikurangkan dari 14 kepada 10 hari - Dr Noor Hisham

Tempoh kuarantin wajib bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat COVID-19 di Malaysia dikurangkan dari 14 hari kepada 10 hari, berkuat kuasa esok.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu sama seperti dilakukan di negara lain berdasarkan laporan saintifik semasa.

6) Asyiknya.... Gunting rambut sambil 'layan' lagu dari piring hitam

Khidmat menggunting rambut sambil dihiburkan dengan alunan lagu dari piring hitam lama menjadi trademark sebuah kedai gunting rambut di Pekan Kepala Batas, Pulau Pinang ini.

Sejak 47 tahun lalu, itulah yang dilakukan seorang tukang gunting warga emas Omar Said, 72 tahun, malah keistimewaan tersebut memberi nilai tambah yang sangat disenangi pelanggannya yang datang dari pelbagai lapisan usia.

7) PDRM belum terima laporan rancangan serangan penggganas di India babit Dr Zakir Naik - KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung kes penceramah kontroversi Dr Zakir Naik, yang dikatakan terlibat dalam rancangan serangan pengganas di India.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM amat mengalukan-alukan sebarang perkongsian maklumat berhubung perkara berkenaan.

8) Kes bunuh diri naik mendadak, melonjak 20 peratus berbanding tahun lepas

Awalnya mengalami kemurungan dan seterusnya ambil jalan singkat dengan membunuh diri.

Perihal cubaan bunuh diri bukan satu perilaku yang boleh dipandang remeh meskipun ada dalam kalangan mangsa yang berjaya diselamatkan daripada membiarkan nyawa mereka melayang secara sia-sia.

9) Maritim Malaysia rampas dadah RM106 juta, rampasan terbesar di Malaysia

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan merampas 2.19 tan Methamphetamine bernilai RM105.9 juta.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata rampasan dibuat di perairan Pulau Pinang di kedudukan 5.3 batu nautika selatan Pulau Kendi, Teluk Kumbar pada Rabu.

10) Bapa tikam bayi positif dadah, direman lima hari - Polis

Lelaki yang menikam anak perempuannya berusia 18 bulan sehingga menyebabkan bayi itu cedera parah pada Sabtu, didapati positif dadah jenis Metamphetamine.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata suspek yang berusia 27 tahun itu kini direman lima hari bagi membantu siasatan.