MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Sabtu, 23 Januari 2021.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa seramai 114 atau 115 ahli Parlimen menyatakan bantahan mereka terhadap darurat yang diusulkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Berdasarkan jumlah tersebut yang disifatkan sudah lebih daripada cukup, Anwar meminta Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempertimbangkan perkara tersebut dan memanggil sidang Parlimen dengan segera.
Malaysia mencatat angka harian tertinggi dengan 4,275 jangkitan baharu COVID-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan mencecah 180,455 kes.
Selain itu, kes sembuh daripada COVID-19 juga dilaporkan paling tinggi iaitu sebanyak 4,313 kes.
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjangkakan fasiliti sedia ada ketika ini hanya mampu bertahan untuk tempoh dua bulan sekiranya kes COVID-19 di negeri ini terus menunjukkan trend peningkatan.
Pengarahnya Datuk Dr Zaini Husin berkata, sejak akhir-akhir ini kes jangkitan baharu di Kelantan menunjukkan lonjakan melebihi angka 100 setiap hari.
Seramai 504 individu ditahan atas kesalahan ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 494 individu dikompaun, manakala 10 lagi direman.
Pendedahkan terhadap lokasi yang pernah dikunjungi oleh individu positif COVID-19 yang melibatkan premis-premis di Sarawak bukan bertujuan untuk menyusahkan pemilik premis.
Sebaliknya, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, langkah itu diambil atas dasar kepentingan dan keselamatan orang ramai.
Sebanyak 11 lagi kluster baharu dikesan di negara ini pada Sabtu, dengan lapan daripadanya adalah berkaitan dengan kluster tempat kerja.
Sementara, tiga lagi masing-masing membabitkan kluster komuniti, keagamaan, dan pusat tahanan.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menitahkan rakyat khususnya di Selangor agar tidak mengabaikan tanggungjawab melindungi haiwan terbiar khususnya kucing dan anjing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
"Hari Sabtu, 23 hari bulan Januari... saya ada di rumah."
Demikian kenyataan ringkas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sebuah video di Facebook rasminya hari ini.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kuasa berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ditukarkan dari mahkamah jenayah ke mahkamah sivil.
Sekiranya rakyat Malaysia yang berkemampuan dapat menyumbang minimum RM2, jumlah sumbangan tersebut cukup membantu pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew, untuk membeli tablet buat pelajar-pelajar yang memerlukan.
Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) Shekhinah PR Sdn Bhd, Christopher Raj, berkata beliau sedih membaca perkongsian Ebit Lew yang memaklumkan menerima mesej daripada 43,000 individu yang memerlukan kelengkapan gajet seperti tablet bagi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
#berita pilihan
#berita dalam negara
#berita tempatan
#Anwar Ibrahim
#Ketua Pembangkang
#pati
#COVID-19
#pandemik
#PdPR
#Ebit Lew
#Mahathir Mohamad