ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 12 November 2021.

1. Ekonomi Malaysia menguncup 4.5 peratus pada suku ketiga berikutan langkah pembendungan COVID-19

Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding dengan pertumbuhan 16.1 peratus yang dicatatkan pada suku kedua 2021, kata Bank Negara Malaysia.

2. Kes AMLA: Permohonan Rosmah supaya Hakim Mohamed Zaini tarik diri didengar 14 Dis

Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapinya, akan didengar pada 14 Dis ini di Mahkamah Tinggi.

3. What's in a Name: Apa kaitan PSY dengan Jho Low dan Najib? Ini cerita Nazir...

Dalam memoir tulisannya What’s in a Name, adik Najib, Datuk Seri Nazir Tun Razak mendedahkan, persembahan ‘Gangnam Style’ oleh artis sensasi Korea Selatan, PSY, ketika itu merupakan antara langkah oleh Jho Low, untuk menarik sokongan rakyat di Pulau Pinang.

4. PRN Melaka: Bilik Gerakan PN di Telok Mas ditutup kerana COVID-19, dikompaun RM10,000

Kementerian Kesihatan Malaysia  mengeluarkan notis penutupan premis ke atas Pusat Gerakan Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Telok Mas, berkuat kuasa hari ini hingga 26 Nov.

5. PRN Sarawak: SPR adakan mesyuarat khas 24 November

Satu Mesyuarat Khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) ke-12 akan diadakan pada Rabu, 24 Nov, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya.

6. What's in a Name: "Dia cuba jatuhkan you!" - Rosmah beri amaran kepada Najib pasal Nazir

Skandal kewangan 1MDB, serta sikap agresif beliau terhadap pengurusan dana negara itu, mengakibatkan ketegangan berlaku dalam keluarganya sendiri, dedah bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak.

7. PRN Melaka: Muhyiddin anggap Shahrir Samad bodoh, cabar jatuhkan Kerajaan Johor

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap cabaran veteran UMNO Tan Sri Shahrir Samad untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, seperti yang berlaku di Melaka, bukan sahaja berniat jahat namun tidak berakal.

8. Jemaah cedera, imam dua maut dilanggar imam satu

Imam dua Surau Al-Hidayah Taman Bukit Kajang di Kajang maut manakala seorang lagi jemaah cedera dilanggar kereta yang dipandu imam satu surau itu pada awal pagi Khamis

9. COVID-19: Nilai Rt meningkat, mungkin tanda awal kes akan melonjak - Dr Noor Hisham

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 (R-Naught) di negara ini meningkat kepada angka 1.0 dan ini mungkin tanda awal kes positif wabak itu akan melonjak.

10. MAVCOM tegaskan pengguna bukan pemiutang, mahu AirAsia X bayar balik tiket dibeli pelanggan

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berkata ia "dengan jelas dan tidak berbelah-bahagi menggesa AirAsia X Bhd (AAX) menilai semula cadangannya untuk menganggap pengguna perjalanan udara sebagai pemiutang dan hanya membayar 0.5 peratus daripada nilai tiket yang dibeli seperti yang diumumkan pada 18 Oktober 2021."