Skip to main content

Dunia

Singapura tandatangani CPF 2026-2031 dengan IAEA untuk perkukuh keupayaan nuklear

41754969464_tbSingapura.jpg
Menurut NEA, rangka kerja itu bertujuan, antara lain, meningkatkan keupayaan Singapura dalam menilai kesesuaian teknologi tenaga baharu. - Gambar hiasan

SINGAPURA: Singapura menandatangani edisi keempat Rangka Kerja Program Negara (CPF) 2026-2031 dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi memperkukuh keupayaan nuklearnya merentasi sektor utama, termasuk tenaga, kesihatan dan keselamatan alam sekitar.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) berkata CPF berfungsi sebagai rujukan strategik bagi perancangan jangka sederhana kerjasama teknikal antara republik itu dan IAEA.

Advertisement

Ia akan mengenal pasti bidang keutamaan iaitu pemindahan teknologi nuklear dan sumber akan menyokong matlamat pembangunan negara.

“Kerangka 2026-2031 mengenal pasti enam bidang keutamaan iaitu keselamatan nuklear dan radiasi serta sekuriti nuklear; alam sekitar; keselamatan makanan; kesihatan manusia; tenaga; dan aplikasi industri,” katanya.

Menurut NEA, rangka kerja itu bertujuan meningkatkan keupayaan Singapura dalam menilai kesesuaian teknologi tenaga baharu, memperkukuh kapasiti pemantauan radiasi alam sekitar, radiokimia makanan dan ujian keselamatan makanan, serta meningkatkan kualiti dan keselamatan pengimejan nuklear dan terapi kanser.

“Rangka kerja ini memperkukuh usaha Singapura membina keupayaan dalam keselamatan nuklear ketika negara menilai potensi penggunaan tenaga nuklear serta mengambil kira minat yang semakin meningkat terhadap tenaga nuklear di rantau ini.

“Ia dibina berdasarkan pencapaian daripada program kerjasama teknikal sebelum ini, sekali gus memastikan Singapura terus berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan sains dan teknologi nuklear bagi pembangunan negara di samping menyumbang kepada usaha pembangunan kapasiti serantau,” tambahnya.

-- BERNAMA

Must Watch Video