ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 13 Jun 2022.

1. 'Jadikan sesi akan datang sebagai sidang Parlimen Reformasi bersejarah'

Veteran DAP yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, beberapa langkah perlu diambil dalam sidang akan datang ini termasuk membentangkan beberapa undang-undang reformasi.

2. KPKT peruntuk RM20 juta laksana program pemerkasaan ekonomi komuniti bandar

Setiausaha Bahagian Kesejahteraan Komuniti KPKT, Datuk Muhamad Musa berkata melalui program itu pihaknya menyasarkan seramai 2,000 peserta yang berdaftar di bawah program eKasih di seluruh negara.

3. Keputusan kerajaan hanya libatkan pemansuhan hukuman mati mandatori sahaja - Wan Junaidi

Hukuman mati mandatori di Malaysia masih dikekalkan bagaimanapun ia bakal dimansuhkan dan dalam peringkat perbincangan.

4. Ganja bernilai RM2 juta dirampas, sindiket dadah antarabangsa tumpas

Sindiket penyeludupan dan pengedaran ganja dari selatan Thailand tumpas selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 840 kilogram bernilai RM2.12 juta dalam dua serbuan di Pulau Pinang.

5. Khairy Jamaluddin terima RM50,000-RM200,000 daripada UKSB - Saksi

Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, 42, berkata sumbangan yang diberikan UKSB kepada Khairy antara RM50,000 dan RM200,000 untuk bantuan politik, bencana serta aktiviti kemanusiaan.

6. Sultan Johor terima kunjungan Amy, kumpulan Search

Hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar itu berkata, pada pertemuan bersama Sultan Ibrahim, Amy turut mempersembahkan cenderahati berupa piring hitam album beliau, Gothik Malam Edan serta beberapa cenderamata lain dari kumpulan Search.

7. Bawa Malaysia ke Piala Asia akan jadi penghormatan terbesar - Pan Gon

Pan Gon berkata sekiranya berjaya membawa pasukan negara ke kejohanan berprestij bola sepak Asia itu, ia bukanlah disebabkan beliau seorang tetapi semua pihak yang bekerja keras membangunkan arena bola sepak di Malaysia.

8. "Kami makan 'king crab', Bella makan cili" - Saksi

Rakan pengasas Rumah Bonda memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, tetamu yang hadir di rumah Siti Bainun Ahd Razali disajikan makanan ‘king crab’ namun seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dikenali Bella didera dengan memakan cili.

9. Pegawai bank sahkan lebih RM45 juta dipindahkan ke akaun peribadi Najib

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sejumlah RM45.8 juta telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi AmBank Datuk Seri Najib Tun Razak melalui Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) antara Oktober dan Disember 2014.

10. Kerajaan perkenal harga siling bergerak untuk atasi masalah sekuriti makanan - PM

Bagi mengatasi masalah sekuriti makanan, kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input.