Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini

Astro Awani
Disember 6, 2022 15:59 MYT
Berikut antara berita paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 6 Disember 2022.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 6 Disember 2022.
1. Kelulusan projek tebatan banjir RM7 bilion batal, perlu diteliti semula - PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta kerana tidak mematuhi peraturan serta diluluskan secara rundingan terus.
2. Dakwaan seleweng RM600 bilion: 'Muhyiddin, jangan cabar saya' - PM Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar beliau mengenai isu dana kerajaan berjumlah RM600 bilion yang didakwa diseleweng.
3. Semua projek sedang berjalan termasuk ECRL diteruskan - Anthony Loke
Semua projek di bawah Kementerian Pengangkutan (MoT) akan diteruskan buat masa ini. Menurut menterinya, Anthony Loke Siew Fook, ia termasuk projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah beberapa kali mengalami perubahan.
4. 'Jumpa di mahkamah', balas Rafizi kepada Tuan Ibrahim
Demikian jawapan ringkas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli ketika ditanya berhubung tuntutan saman difailkan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terhadapnya.
5. Masa untuk Kabinet Anwar mula kerja, elak ulangi kebuntuan politik
Anwar harus menumpukan perhatian untuk melantik teknokrat yang pakar dalam satu-satu bidang sebagai timbalan menteri dan dalam portfolio utama kerajaan. Negara tidak mampu menanggung kebuntuan politik yang berterusan.
6. Isu monopoli beras: Tiada niat roboh empayar Syed Mokhtar, jangan politikkan - PM
Tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary agar mengurangkan tindakan memonopoli beras dalam negara dengan menyalurkan peruntukan RM60 juta kepada pesawah miskin bukanlah untuk merobohkan empayar beliau.
7. Sumber luar dikenal pasti untuk tampung bekalan telur - Mat Sabu
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengenalpasti beberapa sumber dari luar negara untuk menampung keperluan bekalan telur ayam dalam negara sebagai pelan jangka pendek.
8. Hot Wheels model Proton Saga diperkenal
Pengeluar kereta mainan Hot Wheels, Mattel Inc mengumumkan kerjasama dengan pengeluar kereta nasional Proton bagi mengeluarkan model skala 1:64 kereta nasional pertama negara, Proton Saga.
9. DUN Selangor: Speaker tegur ramai ADUN lewat
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ng Suee Lim terkilan dengan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir lewat ke Persidangan DUN khususnya pada sesi pagi.
10. Sistem harga dua peringkat, kupon pembelian minyak peket dibincang minggu depan - Salahuddin
Cadangan penetapan harga melalui sistem dua peringkat dan kupon pembelian minyak masak peket bersubsidi akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) minggu depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub.
#berita Malaysia #Berita AWANI #berita tempatan #berita pilihan