MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut antara berita paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 7 Disember 2022.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Rabu, 7 Disember 2022.
Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 Parlimen Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri Tioman di Pahang bermula secara rasmi pada 8 pagi ini, melibatkan sejumlah 161,063 pengundi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata usaha untuk melaksanakan penetapan harga minyak masa secara dua peringkat sudah dimulakan.
Cukai khusus yang dikenakan ke atas syarikat yang memperoleh keuntungan luar biasa wajar dilaksanakan semula, kata pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.
Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman dihadapkan ke dua mahkamah di sini hari ini, atas empat pertuduhan jenayah seksual membabitkan tiga remaja lelaki antara Februari hingga Ogos lepas.
Tindakan seorang penganggur yang berang apabila isterinya gagal membelikan rokok sehingga tergamak mencederakan wanita itu serta dua anaknya membawa padah, apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.
Sebanyak 2,113 kandungan video di aplikasi media sosial TikTok telah disekat secara automatik kerana didapati melanggar Garis Panduan Komuniti platform media sosial tersebut.
Peruntukan RM10 juta untuk tahun ini dan RM50 juta pada tahun hadapan kepada pesawah miskin oleh tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary tidak dapat menyelesaikan masalah kemiskinan petani.
Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengaitkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dengan pemilikan saham Padiberas Nasional Berhad (Bernas) RM400 juta disifatkan tidak benar.
Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Perikatan Nasional (PN), Azman Nasrudin, menang besar di Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi.
Calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain menang tipis dengan majoriti 573 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.