PUTRAJAYA: Sebanyak 2,113 kandungan video di aplikasi media sosial TikTok telah disekat secara automatik kerana didapati melanggar Garis Panduan Komuniti platform media sosial tersebut.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, sebanyak 857 video disekat dari tarikh 12 November hingga 18 November 2022 dan 130 video disekat syarikat tersebut pada hari pengundian iaitu pada 19 November lepas.

Menurutnya, menerusi pertemuan dengan wakil TikTok pada 5 Disember lepas, wakil syarikat itu memaklumkan 95 peratus daripada video yang melanggar garis panduan itu disekat secara automatik, bukan menerusi aduan daripada pengguna.

“Pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pada 20 November hingga 26 November, sebanyak 1,126 video disekat secara automatik.

“Saya difahamkan sekatan itu adalah berdasarkan kepada sistem Kecerdasan Buatan (AI) milik TikTok itu sendiri. Dari 1 Januari hingga 5 Disember 2022, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga memberikan sejumlah aduan kepada TikTok untuk menurunkan video.

“Jumlahnya adalah sebanyak 202 permohonan dan daripada jumlah itu, sebanyak 95 kandungan video diturunkan kerana melanggar Garis Panduan Komuniti TikTok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pasca Kabinet Kementerian Komunikasi dan Digital di sini pada Rabu.

TikTok sekat 2,113 video bersifat ekstrem dari 12-26 Nov berkait PRU15


Tambah beliau, kerajaan bermula dengan TikTok kerana melihat beberapa video termasuk “Tragedi 13 Mei” ditularkan di platform tersebut.

Tegasnya, selepas ini beliau akan berjumpa dengan syarikat media sosial yang lain untuk terus memantau kandungan provokatif menyentuh sensitiviti Raja-Raja Melayu, perkauman dan agama.

“Jawatankuasa Khas Menangani Berita Palsu yang ditubhkan pada 1 Disember lepas akan memberi penekanan kepada aspek komunikasi terutama pengurusan menangani penyebaran berita palsu.

“Jawatankuasa ini memantau hantara palsu di media yang dilihat mempunyai kesan negatif terhadap sistem politik, ekonomi, sosial, budaya, agama, keselamatan dan kedaulatan negara,” ujarnya.