MALAYSIA
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Oktober 2023.
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Oktober 2023.
Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah menitiskan air mata mengenangkan nasib menimpa rakyat Palestin di bumi Gaza ketika ini, pada satu majlis ramah mesra bersama pelajar-pelajar Palestin di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Sabtu.
Seorang wanita maut manakala kakaknya parah selepas motosikal Honda Wave dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta Proton Satria yang dipandu seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Jalan Kuala Kedah, petang, semalam.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyangkal dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan yang menyekat mana-mana individu untuk bercakap mengenai isu 3R (Agama, Bangsa dan Institusi Diraja) di dalam negara ini.
Kerajaan tidak bercadang meluluskan sekali lagi pengeluaran bersasar daripada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Komposer Ross Ariffin atau nama sebenarnya Roslan Ariffin mengakui rindu untuk kembali ke zaman kegemilangan itu selepas hampir empat tahun hidup sebagai gelandangan.
Saksi memberitahu mahkamah bahawa, RM4 juta diberi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Kerajaan digesa memberi penjelasan mengenai ralat angka hasil selepas langkah Belanjawan 2024 pada dokumen tinjauan fiskal dan anggaran hasil kerajaan Persekutuan naik kepada RM4.698 bilion bagi cukai tidak langsung.
Individu yang mengetahui wujudnya perbuatan penderaan seksual terhadap kanak-kanak tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa boleh didenda hingga RM5,000.
Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Dunia 2025 (WTD2025) merupakan satu pengiktirafan besar yang bakal menyaksikan negeri itu menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihati orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca, susulan jangkaan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula bulan depan hingga Feb 2024, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.