Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
Januari 28, 2024 15:59 MYT
Januari 28, 2024 15:59 MYT
ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 28 Januari 2024.
Jumaah Majlis Diraja mengumumkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dimasyhurkan sebagai Pemangku Sultan Johor, bermula Ahad.
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap masih terdapat ruang perbincangan antara pihaknya dengan kerajaan sebelum dasar baharu pengambilan penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen, dilaksanakan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar menasihati individu atau jemaah supaya membetulkan niat ketika mengunjungi Tanah Suci dengan niat semata-mata untuk beribadah.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan bahawa hasil siasatan menjadi penentu kepada setiap hukuman yang akan dikenakan berkait isu kartel beras.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ahli keluarga yang lain bagi mangsa rogol dan pukul bapa kandung di Kendong, Rembau.
Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 9, di sini esok berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tan Sri Mokhzani dipercayai ada kaitan dengan dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan bapanya, yang juga bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Kerajaan menyangkal dakwaan langkah mewujudkan pengambilan baharu penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen akan menjejaskan nasib orang Melayu yang merupakan majoriti dalam penjawat awam.
Polis Bukit Aman sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing dengan alasan menjelaskan saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju.
Bekas peguam, penasihat perhubungan awam dan ikon fesyen, Jiman Casablancas dilaporkan telah meninggal dunia pada Ahad malam.