Berita Terkini ASEAN25: “Ini pertemuan sahabat yang kongsi tekad bersama” - Anwar hargai kehadiran Lula

Kedua-dua pemimpin membincangkan peluang pelaburan baharu dalam bidang semikonduktor, teknologi makanan serta potensi dalam meningkatkan import produk ayam dari Brazil. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: “Ini bukan pertemuan diplomatik biasa. Ini adalah pertemuan antara sahabat yang berkongsi keyakinan dan cita-cita yang sama.”
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kunjungan rasmi Presiden Brazil Luiz Incio Lula da Silva ke Seri Perdana sebagai pertemuan antara sahabat yang berkongsi cita-cita dan keyakinan sama, khususnya dalam memperjuangkan nasib golongan miskin dan tertindas.
- Pertemuan itu membincangkan kerjasama dalam bidang perdagangan, tenaga, sains dan kebudayaan, termasuk pelaburan baharu dalam semikonduktor, teknologi makanan serta import produk ayam dari Brazil, selain menekankan kepentingan penyelidikan saintifik.
- Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Lula atas penganugerahan ijazah kehormat oleh UKM dan menyifatkan penyertaan Brazil dalam Sidang Kemuncak COP sebagai komitmen global terhadap alam sekitar dan pembangunan mampan.
“Presiden Lula kekal konsisten memperjuangkan nasib golongan miskin dan tertindas, bukan sahaja di Brazil tetapi juga dalam isu antarabangsa seperti kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai di Gaza serta perubahan iklim,” katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan kepada Lula atas layanan mesra yang diberikan ketika beliau menghadiri sidang BRICS sebelum ini, serta peranan aktif Brazil dalam menganjurkan Sidang Kemuncak COP akan datang berhampiran Amazon.
“Komitmen anda bukan hanya terhadap rakyat dan alam sekitar Brazil, tetapi juga untuk menyelamatkan dunia melalui dasar yang berani dan progresif,” katanya lagi.
Beliau menambah, pertemuan itu menjadi simbol hubungan mesra antara Malaysia dan Brazil, dua negara dari dunia membangun yang berpotensi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan, sains, tenaga dan kebudayaan.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin membincangkan peluang pelaburan baharu dalam bidang semikonduktor, teknologi makanan serta potensi dalam meningkatkan import produk ayam dari Brazil.
Mengulas lanjut, Anwar turut menekankan kepentingan penyelidikan saintifik sebagai asas kepada kemajuan negara.
Perdana Menteri berkata, ia menyingkap kenangan ketika beliau pernah dipengaruhi oleh saintis terkemuka Brazil, Dr. Israel Vargas yang membuka pandangannya terhadap keperluan kerajaan menumpukan dana kepada penyelidikan dan pembangunan.
Selain itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Lula atas penganugerahan ijazah kehormat Doktor Falsafah dalam Pembangunan Antarabangsa dan Dunia Membangun oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang akan disempurnakan dalam satu majlis konvokesyen khas hari ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


