Berita Terkini ASEAN25: Konsensus Lima Perkara tonggak penyelesaian krisis, pilihan raya adil di Myanmar

Menteri-menteri ASEAN bersidang di Kuala Lumpur bagi menegaskan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara sebagai asas penyelesaian konflik Myanmar, termasuk pemantauan pilihan raya dan bantuan kemanusiaan. -Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Beberapa siri mesyuarat Menteri-menteri ASEAN yang berlangsung pada Sabtu terus menitik berat pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN bagi memastikan penyelesaian tuntas terhadap konflik Myanmar tercapai.
Ringkasan AI
- Menteri-menteri ASEAN menegaskan Konsensus Lima Perkara (5PC) kekal sebagai rujukan utama dalam menangani krisis Myanmar, termasuk keperluan dialog inklusif sebelum pilihan raya diadakan.
- ASEAN bersetuju menghantar pasukan pemerhati di peringkat pegawai kanan dan memperkukuh kerjasama dengan Pusat AHA bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada golongan terjejas.
- Mesyuarat turut membincangkan ancaman jenayah rentas sempadan dari Myanmar serta cadangan menyemak tempoh jawatan utusan khas ASEAN ke negara itu.
“Mengenai pilihan raya (di Myanmar), mesyuarat bersetuju bahawa pilihan raya mesti adil, telus, inklusif dan berwibawa. Kami turut menggesa keperluan dialog inklusif sebelum pilihan raya diadakan.
“Bagi penghantaran pasukan pemerhati ASEAN, ia akan dilaksanakan di peringkat pegawai kanan dan mereka akan melaporkan semula kepada kami,” katanya lagi.
Mohamad berkata demikian dalam sidang media khas sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu.
Krisis Konflik Myanmar bermula dengan pengambilalihan pemerintahan oleh pihak Junta pada 1 Februari 2021, apabila Tatmadaw (tentera Myanmar) menggulingkan kerajaan awam yang dipilih secara demokratik.
Sejak itu, negara tersebut dilanda kekacauan politik, konflik bersenjata dan krisis kemanusiaan yang berlarutan hingga 2025, dengan angka kematian mencecah lebih 5,000 orang, 28,000 lagi ditahan, manakala hampir 3.3 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
Dalam pada itu beliau berkata, Menteri-menteri ASEAN menegaskan kepentingan kesinambungan dalam usaha ASEAN terhadap Myanmar dan membincangkan cadangan untuk menyemak tempoh jawatan utusan khas ASEAN ke Myanmar.
“Kami menyatakan keperluan untuk memperkukuh kerjasama dengan Pusat AHA bagi memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang paling memerlukan, selaras dengan prinsip kemanusiaan ASEAN.
“Kami menghargai sumbangan oleh Negara Anggota ASEAN, rakan luar, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sektor swasta dalam meningkatkan situasi kemanusiaan di Myanmar,” katanya lagi.
Selain itu Mohamad, turut menyentuh ancaman serius jenayah rentas sempadan yang berpunca dari Myanmar ke rantau ini.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

