Berita Terkini ASEAN25: Lawatan ke Malaysia buka lembaran baharu hubungan Brazil-AS

Lula bercakap dalam sidang media sempena lawatan rasminya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, di ibu negara, pada Isnin. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Presiden Brazil, Luis Inacio Lula da Silva menyifatkan lawatan ke Malaysia bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, tetapi turut membuka ruang baharu bagi rundingan ekonomi antara Brazil dan Amerika Syarikat (AS).
Ringkasan AI
- Presiden Lula menyifatkan lawatannya ke Malaysia bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, tetapi turut membuka peluang rundingan ekonomi antara Brazil dan Amerika Syarikat.
- Lula mendedahkan beliau telah berhubung dengan Presiden Donald Trump berhubung kenaikan tarif import barangan Brazil, yang disifatkan berdasarkan maklumat salah dan perlu dirunding semula secara adil.
- Lula menekankan bahawa perbezaan ideologi tidak harus menjadi penghalang, sebaliknya hubungan antarabangsa perlu dibina atas dasar saling menghormati dan menjaga maruah sebagai dua demokrasi besar.
“Saya memberitahu Presiden Trump bahawa kita perlu menempatkan orang yang memahami dan menyukai Brazil dalam proses rundingan.
“Saya seorang presiden yang berpengalaman dan saya tahu bahawa jika kita meletakkan orang yang berniat jahat dalam rundingan, tiada perjanjian boleh dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena lawatan rasminya ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, di ibu negara, pada Isnin.
Tambahnya, pertemuan semula antara kedua-dua pemimpin itu di Malaysia adalah “takdir yang telah ditentukan” dan membuka lembaran baharu hubungan dua hala antara Brazil dan Amerika Syarikat.
“Kami akhirnya bersemuka, saling memandang mata dan berbicara secara terus terang.
“Saya berkeyakinan bahawa tidak lama lagi hubungan antara Amerika Syarikat dan Brazil akan kembali stabil,” ujarnya.
Lula turut menekankan bahawa perbezaan ideologi tidak seharusnya menjadi penghalang dalam hubungan antarabangsa.
Sebaliknya kedua-dua negara perlu mengekalkan dasar saling menghormati dan memelihara maruah sebagai dua demokrasi besar di hemisfera Barat.
“Saya menghormati pilihan rakyat Amerika yang memilih beliau, dan beliau juga menghormati mandat rakyat Brazil yang memilih saya. Bila asas itu jelas, segalanya jadi lebih mudah,” katanya lagi.
Pada Julai, Lula berkata sebarang langkah unilateral menaikkan tarif akan dibalas berdasarkan undang-undang timbal balik ekonomi Brazil.
Ini kerana tegasnya,kenaikan tarif dibuat berdasarkan maklumat yang tidak benar, khususnya berkaitan hubungan perdagangan antara Brazil dan AS berhubung dakwaan defisit yang kononnya dialami Amerika.
Ujarnya, statistik kerajaan AS sendiri mengesahkan negara itu mencatat lebihan perdagangan barangan dan perkhidmatan dengan Brazil sebanyak AS$410 bilion dalam tempoh 15 tahun lepas.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

