KUALA LUMPUR: Faktor terpaksa meninggalkan keluarga dalam jangka masa panjang untuk bekerja di atas kapal menyebabkan rakyat tempatan kurang berminat menceburi industri perkapalan dan pelabuhan, meskipun mendapat tawaran gaji yang lumayan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu menyebabkan sektor pelabuhan dan logistik terpaksa bergantung dengan tenaga kerja asing.

"Memang tak ramai rakyat Malaysia yang berminat (bekerja dalam sektor perkapalan dan pelabuhan) kerana apabila bertugas mereka kena keluar rumah berbulan-bulan untuk bertugas atas kapal, terpaksa meninggalkan keluarga, itu antara faktor orang tak minat.

"Namun, kita galakkan kalau ada mana-mana pihak dapat membawa atau menggalakkan warga tempatan menceburi pekerjaan dalam sektor perkapalan. Pusat Khidmat Ahli Parlimen juga boleh menganjurkan dengan mendaftarkan warga tempatan sekiranya ada dan kita boleh buat ekspo kerjaya untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat semalam.

Sehubungan itu, Loke berkata menerusi Belanjawan 2024 kerajaan memperuntukkan RM20 juta untuk program latihan berkaitan maritim dan menaik taraf pelaut, selain kesenian di ASWARA serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi sektor aeroangkasa.

Perkara itu, katanya dilaksanakan melalui Perbadanan Tabung Peningkatan Kemahiran (PTPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia dan peruntukan tersebut dapat memberikan ruang kepada pelaut untuk meningkatkan kemahiran mereka, selain dapat mengisi kelompongan yang berlaku.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan tidak berhasrat meletakkan harga siling bagi penjualan tiket penerbangan, namun melaksanakan kaedah intervensi secara terpilih seperti menggalakkan syarikat penerbangan menambah kapasiti hingga larut malam pada musim perayaan.

"Kalau kita letak harga siling, syarikat penerbangan tiada motivasi dan kemungkinan akan kurangkan kapasiti dan mungkin harga yang biasanya bukan waktu puncak sepatutnya murah akan menjadi lebih tinggi," katanya.

Mengenai pembangunan semula Lapangan Terbang Subang sebagai lapangan terbang bandar, katanya ia bukan bertujuan untuk menggantikan fungsi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai pintu utama negara bagi penerbangan antarabangsa berkapasiti lebih besar.

Beliau berkata Lapangan Terbang Subang mempunyai kapasiti tertentu dengan jenis pesawat yang dibenarkan adalah terhad selain menjadikannya sebagai hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata Kementerian Kewangan telah bersetuju supaya 50 peratus hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa kenderaan dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan inisiatif kepada rakyat pada tahun depan.

-- BERNAMA