SUNGAI BULOH: Jawatankuasa Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh dekat sini mahu membuktikan mereka juga mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat Islam tanpa mengharap sepenuhnya dana kerajaan.

Ini apabila mereka berjaya mengumpulkan dana kira-kira RM1.4 juta sejak lebih kurang empat tahun untuk membina masjid baharu di atas tanah seluas satu hektar bagi menggantikan masjid lama menerusi konsep wakaf.

Masjid baharu yang melibatkan kos pembinaan antara RM8 juta hingga 10 juta itu dirancang untuk dibina di lokasi berhampiran bagi menggantikan masjid lama berusia 60 tahun yang juga merupakan masjid tertua di Selangor.

Pengerusi Pembinaan Masjid Jamek Baharu Pekan Sungai Buloh, Mohd Pekri Abdul Hamid bagaimanapun berkata, dana yang dikumpulkan bagi membina masjid baharu masih belum mencukupi daripada kos diperlukan masih jauh dari sasaran.

Pada masa sama, Mohd Pekri berkata, pihak pengurusan masjid sudah membuat permohonan bantuan daripada pihak kerajaan negeri dan Persekutuan untuk mempercepatkan proses pembinaan masjid baharu.

 Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh (beratap biru) adalah masjid tertua di negeri Selangor. Gambar kecil: Gambaran ilustrasi masjid baharu yang dirancang, - Foto Sinar Harian

Namun, beliau turut memberi peluang kepada masyarakat untuk berwakaf bagi mengumpul dana wakaf sebanyak RM10 juta bagi membina masjid baharu (RM8.5 juta) itu dan sebuah Maahad Tahfiz (RM1.5 juta) bersebelahan masjid tersebut.

"Tapak pembinaan masjid baharu telah mendapat kelulusan Pejabat Daerah Petaling dan pihak Jabatan Agama Islam Selangor juga telah memberikan kebenaran untuk membina sebuah masjid.

"Kami juga telah mendapatkan kelulusan daripada Wakaf Selangor untuk mengutip derma selain melantik perancang bandar dan arkitek untuk menyediakan pelan pembangunan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya pelan tersebut juga telah dihantar kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan setakat ini pihak MBSA telah memberikan keputusan dasar dan proses seterusnya adalah menyerahkan permohonan merancang.

Pada Sabtu, pihak pengurusan Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh menerima kunjungan 40 peserta Bunian Bikerz yang mengisi cuti Tahun Baharu Cina dengan mengadakan program konvoi Subuh berjemaah ke masjid berkenaan.

Setiausaha Bunian Bikerz, Nik Amirul Asraff Nik Aman dilaporkan berkata, selain untuk bersama jemaah masjid, tujuan utama program adalah untuk memberi sumbangan bagi pembinaan masjid berkenaan yang dalam keadaan daif.

Ujarnya, pengisian program konvoi itu diharap memberikan manfaat kepada peserta serta membuka mata masyarakat untuk sama-sama membantu menyumbang kepada pembangunan masjid baharu itu kelak.

Dalam pada itu, pihak pengurusan masjid turut menerima sumbangan naskah al-Quran daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI).

Bagi pihak yang berhasrat untuk berwakaf bagi mengumpul dana wakaf sebanyak RM10 juta bagi pembinaan sebuah masjid baharu boleh menghubungi Mohd Pekri di talian 012-2605560 atau disalurkan menerusi akaun Public Bank 3986829513.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian