JOHOR BAHRU: Siapa menyangka 'Satay Wak Radol' yang mula dijual dengan hanya menggunakan pengandar pada sekitar tahun 70-an, kini telah berkembang sehingga 10 cawangan restoran di seluruh daerah ini.

Cawangan pertama restoran Satay Wak Radol yang merupakan antara penjual sate terkenal bagi penggemar makanan itu di negara ini, dibuka pada tahun 80-an di Jalan Denai Utama, Kempas, di sini, yang berada di bawah Parlimen Pulai.

Meskipun Wak Radol atau Suhardi Mian@Radol Kassim yang mempunyai 10 orang anak telah meninggal dunia pada 1996, akibat sakit tua ketika berusia 78 tahun, legasi perniagaannya diteruskan sehingga ke generasi keempat.

Seorang daripada cucunya Siti Nor Aishah Ahmad Kasiran, 49, yang menguruskan cawangan di Jalan Siantan 1, Taman Kemas, Kempas, di sini, berkata sate Wak Radol disukai ramai termasuk daripada Singapura dan Batam, Indonesia.

Beliau yang merupakan generasi ketiga berkata Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail juga pernah berkenan mencemar duli bersantap di restoran pertama datuknya itu pada sekitar tahun 80an.

Menurut Siti Nor Aishah antara keistimewaan sate itu ialah dibuat dengan menggunakan daging batang pinang.

"Selain menggunakan daging batang pinang, cara buat sate ini juga berbeza kerana tidak diperap, selepas daging ayam, kambing dan lembu dipotong, ia terus digaul dengan bahan rempah yang dikisar, selepas itu dicucuk dengan lidi dan dibakar atas arang kayu.

"Tiada ramuan rahsia, hanya ramuan biasa yang kebiasaannya digunakan orang lain juga untuk buat sate, termasuk dari segi pembuatan kuah kacang," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Katanya, restoran yang kini diuruskan beliau dibuka oleh bapanya yang juga anak sulung Wak Radol.

Beliau berkata dianggarkan sebanyak 3,000 cucuk sate terdiri daripada sate ayam, lembu, kambing dan babat terjual setiap hari, manakala hari minggu pula boleh mencecah sehingga 8,000 cucuk.

Meskipun terdapat kenaikan harga barang terutama gula dan minyak masak, beliau cuba untuk tidak menaikkan harga serta sentiasa mengutamakan kualiti dan kepuasan pelanggan.

"Kali terakhir saya terpaksa naikkan harga adalah pada tahun lepas, iaitu RM1.20 bagi sate ayam dan lembu serta RM1.50 bagi sate kambing dan babat, sebelum itu hanya 90 sen secucuk.

"Sebenarnya selepas pandemik COVID-19, walaupun ramai peniaga terkesan, rezeki mencurah-curah selepas itu, sebab ramai orang menyokong untuk merancakkan perniagaan orang tempatan. Jadi saya sentiasa percaya kepada rezeki yang Allah telah aturkan," kata ibu empat anak itu.

-- BERNAMA