Polis Sarawak tidak akan mendirikan sebarang halangan di Padang Song Kheng Hai selepas penganjur perhimpunan Bersih 4.0 edisi Sarawak, Nickolas Anson mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Kuching Selatan (MBKS).

"Bagaimanapun, penganjur harus patuh kepada beberapa syarat yang ditetapkan," kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad dalam satu kenyataan.

Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah perhimpunan hendaklah statik dan sebarang pergerakan tidak dibenarkan.

Peserta juga tidak dibenarkan membawa kanak-kanak dan dan mematuhi syarat-syarat lain seperti yang telah diserahkan kepada penganjur pada 20 Ogos 2015.

Peserta perhimpunan turut dinasihatkan meletak kenderaan di tempat yang dikhaskan dan tidak menghalang perjalanan lalu lintas.

Pihak polis juga menasihatkan penganjur untuk mengawal perilaku peserta perhimpunan supaya tidak melanggar undang-undang.

Ia bagi memastikan tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini sehingga boleh mengugat keselamatan awam.