Perhimpunan Bersih 4 yang diadakan di padang Song Kheng Hai, di sini bermula semalam terpaksa dihentikan serta merta tengah malam tadi atas alasan ketiadaan sistem bunyi, kata Pengerusi Bersih 4 Kuching, Nicholas Mujah.

Nicholas berkata perhimpunan itu terpaksa dihentikan setelah alatan sistem bunyi yang disewa pihak mereka telah diambil semula oleh pemiliknya tanpa sebarang notis selepas tamat sesi perhimpunan pada sebelah siang hari dan ia sedikit sebanyak telah menjejaskan perjalanan program untuk sebelah malamnya.

"Kami telah menyewa sistem bunyi yang selalunya digunakan untuk karaoke tetapi ia tidak mampu menampung keluasan Padang Song Kheng Hai," katanya.
Mengulas lanjut tentang aktiviti pada hari ini, Nicholas menyatakan yang kehadiran peserta hari ini hanya untuk membersihkan kawasan tapak perhimpunan selain mengemas semua harta benda awam yang telah mereka gunakan sepanjang perhimpunan berlangsung.

Tinjauan Astro AWANI di tapak perhimpunan pada malam tadi menyaksikan ceramah hanya mengunakan sistem bunyi yang kekuatan suaranya agak kecil untuk didengar oleh orang ramai.

Manakala untuk hari ini, lebih kurang hanya 100 orang peserta terdiri daripada komuniti penganjur hadir bagi membersihkan padang perhimpunan dan menurunkan segala banner dan poster yang ada.

BACA: [LAPORAN LANGSUNG] Bersih 4: Peserta mula berkumpul di Dataran Merdeka pagi ini