Penganjur dan peserta perhimpunan Bersih 4 yang diharamkan akan dikenakan tindakan mengikut pelbagai peruntukan undang-undang sedia ada, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, selepas ini tiada lagi amaran dan tindakan diambil walaupun selepas perhimpunan tamat.

"Pihak Polis boleh mengambil tindakan biarpun selepas perhimpunan. Kita memantau siapakah tokoh-tokoh di belakang perhimpunan ini.

"Kita juga mengikuti setiap patah ucapan mereka dan kita tahu ada tindakan tindakan yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka," katanya.

BACA: [LAPORAN LANGSUNG] Bersih 4: Perhimpunan diteruskan, sambutan ambang Merdeka dipindah ke Bukit Jalil

BACA: Bersih 4.0: Empat perkara anda perlu tahu

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan perasmian di Mesyuarat Perwakilan UMNO Ipoh Timur ke-17 di Bangunan UMNO Negeri Perak pada Ahad.


Katanya sebarang tindakan yang bakal dikenakan terhadap peserta dan penganjur, bukan bermakna kerajaan zalim tetapi ia merupakan akibat yang perlu ditanggung mereka akibat perbuatan sendiri.

"Saya tidak mahu lagi memberikan amaran. Jangan tuduh pihak berkuasa atau kerajaan kejam kalau tindakan dikenakan terhadap mereka selepas ini.

"Tindakan perundangan bukan mahu menzalimi mereka tetapi mereka yang menzalimi diri sendiri. Mereka bakal menerima akibat daripada tindakan yang mereka lakukan sendiri," katanya lagi.

Sementara itu, menyentuh mengenai kehadiran Tun Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dalam perhimpunan Bersih 4 malam tadi, Zahid berkata beliau menyerahkan hal tersebut kepada pihak berkuasa bagi tindakan selanjutnya.

"Saya berikan pengurusan hal ini kepada pihak polis sepenuhnya, 'siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya'," ujarnya.