Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa pendirian beliau dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka pada 19 November ini adalah muktamad.

Katanya, perhimpunan yang dirancang Bersih 2.0 dan Gerakan Baju Merah adalah tidak perlu kerana beliau sendiri kurang jelas tujuan kedua-dua pihak tersebut untuk berhimpun.

"Apa yang tak 'bersih' ni? Mereka nak buat (perhimpunan) untuk apa? Saya pun tak faham.

"Ada hampir 80 Ahli Parlimen pembangkang. Kalau pilihan raya tidak bersih seperti mana yang didakwa, bagaimana kamu (pembangkang) boleh dipilih sebagai Ahli Parlimen? Bagaimana kamu boleh tadbir Selangor, Pulau Pinang, sebelum ini Kedah dan Perak?" soalnya dalam sidang media selepas majlis penyerahan kunci Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) Residensi Rampai, di sini, hari ini.

Jelas Tengku Adnan, ketika ini negara sedang berdepan pelbagai masalah yang didorong ketidaktentuan ekonomi global dan seharusnya kedua-dua pihak tersebut duduk bersama kerajaan dan berbincang bagi memastikan setiap masalah dapat diatasi, bukan bertindak mewujudkan lebih banyak lagi masalah.

"Nasihat saya tidak kira merah ke, kuning ke, biru ke, hijau ke, jingga ke, tolonglah rasional sikit."

Perhimpunan Bersih 5 yang dipimpin Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah menuntut antaranya mengadakan pilihan raya yang bersih, kerajaan yang bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah, dan memperkasa Sabah dan Sarawak.

Tengku Adnan dalam pada itu berkata pihaknya turut tidak akan membenarkan kumpulan Bersih atau Baju Merah mengadakan perhimpunan di Padang Merbok sebagai alternatif berikutan lokasi tersebut sedang dijalankan kerja-kerja ubah suai menjadi padang ragbi.

Sementara itu, Tengku Adnan menegaskan bahawa UMNO tidak sama sekali terlibat dengan Gerakan Baju Merah yang merancang untuk menghalang perhimpunan Bersih pada hari tersebut.

"Saya tak galakkan kalau ada ahli UMNO yang nak ikut serta. Kalau nak pergi atas individu, itu dia punya pasal.

"(Gerakan Baju Merah) ini bukan UMNO punya sponsor ya, tiada kena mengena dengan UMNO," katanya.

Namun, kata Tengku Adnan, sekiranya kedua-dua pihak berkeras untuk berhimpun, beliau berharap tiada kekecohan atau keganasan berlaku.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan perhimpunan dan konvoi Bersih 5 tidak boleh diteruskan di luar Dataran Merdeka susulan syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 gagal dipatuhi penganjur.

Ia berikutan tiada notis lokasi baharu diserahkan pihak Bersih 2.0 bagi menggantikan cadangan berhimpun di Dataran Merdeka.

Katanya, notis awal yang diserahkan kepada ibu pejabat polis daerah Dang Wangi dan ibu pejabat polis Brickfields tidak mendapat kelulusan kerana penganjur gagal mengemukakan bersama surat kebenaran Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Tegas Khalid, sekiranya perhimpunan tersebut diteruskan di lokasi lain tanpa penyerahan notis baharu, ia jelas melanggar syarat yang termaktub di bawah Seksyen 10 (C) dan Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012.