SHAH ALAM: Tindakan tiga sekeluarga berbaju Melayu dan bertanjak membuat pertunjukan silat di Masjid Nabawi, Madinah dianggap janggal dan hanya memberikan imej buruk kepada jemaah Malaysia lain.

Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, jemaah umrah di Arab Saudi tertakluk dengan undang-undang dan peraturan ditetapkan negara berkenaan.

Menurutnya, perbuatan sedemikian hanya mengundang kritikan ramai dan boleh memberikan persepsi negatif terhadap jemaah dari negara ini.

“Perkara itu tidak sesuai dengan adab sopan orang Malaysia yang kita pelihara selama ini. Kita kena hormat undang-undang dan budaya di negara lain.

Menurutnya, perbuatan sedemikian hanya mengundang kritikan ramai dan boleh memberikan persepsi negatif terhadap jemaah dari negara ini.

“Perkara itu tidak sesuai dengan adab sopan orang Malaysia yang kita pelihara selama ini. Kita kena hormat undang-undang dan budaya di negara lain.

“Contohnya, kalau kita berada di Makkah atau Madinah, biasanya lelaki memakai ‘thobe’ dan perempuan abaya kerana menghormati mereka walaupun ia bukan budaya kita. Jadi, kalau ke sana berpakaian tanjak dan tunjuk silat, menunjukkan kita terlalu hipokrit dan tidak menilai peradaban dunia.

“Saya 45 tahun berulang alik ke Makkah dan Madinah, jarang berlaku perkara seperti ini. Arab Saudi ada undang-undang yang ketat malah pemakaian baju, mafla atau mengibarkan bendera Palestin juga tidak dibenarkan. Kita harus hormat dan akur, bukannya buat sesuka hati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi 27 saat yang memaparkan seorang lelaki dan dua kanak-kanak berpakaian Melayu dan bertanjak bersilat di pekarangan Masjid Nabawi, Madinah.

Bagaimanapun, tindakan tiga sekeluarga itu dikecam banyak pihak kerana dianggap tidak bersesuaian dan seolah-olah tidak menghormati rumah ibadat bagi umat Islam itu.

Md Daud yang berpengalaman menguruskan haji dan umrah bagi rakyat negara ini menjelaskan, kebiasaannya jemaah dari Malaysia diingatkan untuk sentiasa mengikuti peraturan di Arab Saudi agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

“Daripada aspek berpakaian, jika berpakaian kain sarung atau baju Melayu, ia masih boleh diterima dan tiada masalah. Bertanjak dan bersilat di tempat suci untuk mendapat pujian bukanlah cara yang sesuai.

“Tapi kalau di Malaysia, kita jemput orang luar datang majlis kahwin dan tunjuk pertunjukan silat, itu sangat dibanggakan. Itu caranya dan tempat yang lebih sesuai,” ujar beliau. - Sinar Harian