Skip to main content

Malaysia

Beza parti tak boleh sekat persahabatan, kerjasama demi manfaat rakyat - PM Anwar

MELAKA, 7 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, hari ini._BERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 (HLN 2026) di perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong, hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

MELAKA: Perbezaan parti yang memerintah peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri, tidak boleh dijadikan alasan untuk menyekat persahabatan yang terjalin antara kedua-dua pihak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hubungan dan kerjasama yang erat itu penting, bagi memastikan manfaat dapat disalurkan kepada rakyat.

“Sistem negara kita memerlukan suatu kerjasama yang sangat erat. Kita tidak boleh menghalang pandangan agak berbeza, parti yang berbeza, tapi ia tidak boleh menyekat persahabatan, persaudaraan dan kerjasama yang akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Sebab itu sambutan di Melaka ini dan kerjasama erat daripada Kerajaan Negeri Melaka dan (Majlis) Bandaraya Melaka (Bersejarah)(MBMB), saya ucap setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

“Mudah-mudahan hasrat kita untuk menentukan landskap itu lestari, memenuhi konsep Malaysia MADANI ini, akan dapat diterjemahkan dalam tindakan dan hasilnya dalam masa yang singkat,” kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara bertemakan “Landskap Lestari, Malaysia MADANI” di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam pada itu, Anwar berkata pembangunan negara perlu mengambil kira lokasi yang menjadi tumpuan rakyat, termasuk aspek kebersihan gerai makan.

Beliau berkata pihak berkaitan perlu menyediakan peruntukan khusus bagi tujuan itu dan tidak hanya tertumpu kepada projek mega, yang lebih banyak memberi manfaat kepada golongan berpendapatan tinggi.

“Ya, kita memang terkenal dengan mercu tanda hebat-hebat, gagah-gagah, tetapi jangan lupa, majoriti rakyat itu makannya bukan di restoran lima bintang, majoriti rakyat itu 80 peratus kalau di Kuala Lumpur, makannya di gerai, di warung, di restoran-restoran kecil.

“Berapa banyak tumpuan kita dalam soal pembangunan (dalam usaha) mengindahkan gerai dan membersihkannya...sebab itu saya kata dalam perancangan, gagal kalau kita tidak imbangi (dengan baik),” kata beliau.

Perdana Menteri berkata pembangunan perlu dilaksanakan secara seimbang dalam pelbagai aspek, bagi mengangkat martabat negara di mata dunia.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement