ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 7 Ogos 2026.
1. Pendakwaan Ismail Sabri ditangguh ke 27 Ogos, bakal jalani prosedur jantung di IJN
Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini, ditangguhkan ke 27 Ogos susulan masalah kesihatan yang dihadapi beliau.
2. MAG wajibkan saringan dadah 1,260 juruterbang Malaysia Airlines
Malaysia Aviation Group mewajibkan saringan dadah terhadap kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines serta akan melaksanakan pemeriksaan lebih ketat ke atas semua juruterbang aktif sebagai langkah memperkukuh keselamatan operasi penerbangan.
3. Tiga pemimpin kanan Bersatu Terengganu letak jawatan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia Terengganu berdepan krisis kepimpinan serius selepas tiga pimpinan utamanya mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut sekali gus menyaksikan struktur parti di peringkat negeri itu kini hampir lumpuh.
4. Pelajar kolej didakwa bunuh bayi perempuan baru lahir
Seorang pelajar kolej dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kluang hari ini atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya di sebuah rumah di sini, minggu lepas.
5. Bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Eusoff Chin meninggal dunia pada usia 91 tahun
Bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Eusoff Chin meninggal dunia awal pagi tadi pada usia 91 tahun.
6. Kes dadah: Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah diarah masuk penjara hari ini
Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini melepas dan membebaskan bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah daripada pertuduhan mengedar dadah.
7. 10 ADUN BN-PN dilantik Exco, terajui pentadbiran Negeri Sembilan
Seramai 10 ADUN rasmi mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di Balairung Seri Istana Besar Seri Menanti.
8. RCI Tabung Haji: LHDN serbu tiga premis milik bekas kepimpinan tertinggi TH
LHDN menyerbu tiga premis yang dikaitkan dengan bekas kepimpinan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH), susulan pendedahan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung institusi itu.
9. 26 pertuduhan Nicky Liow ditarik balik selepas bayar kompaun RM10 juta - AGC
Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan keputusan menarik balik 26 pertuduhan terhadap ahli perniagaan Nicky Liow Soon Hee dibuat selepas beliau membayar kompaun RM10 juta pada Mei 2023.
10. BN cari formula elak perpecahan undi Melayu - Razlan Rafii
Pendekatan Barisan Nasional (BN) dalam menterjemahkan hubungan politik bersama parti-parti lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kini lebih bertumpu kepada konsep 'persefahaman' berbanding ikatan gabungan rasmi.