Skip to main content

Dunia

PM Thailand arah undang-undang senjata api diperketat selepas insiden tembakan di sekolah

Thailand’s Prime Minister Anutin Charnvirakul looks on at the venue of the 47th ASEAN Summit and Related Summits in Kuala Lumpur, Malaysia October 26, 2025. REUTERS/Chalinee Thirasupa Purchase Licensing Rights
Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata langkah yang dicadangkan itu termasuk memperketat sekatan terhadap kebenaran orang awam memiliki dan membawa senjata api. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berikrar untuk memperkenalkan langkah kawalan senjata api baharu susulan insiden tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi pada Jumaat yang mengorbankan tujuh nyawa.

Anutin, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata langkah yang dicadangkan itu termasuk memperketat sekatan terhadap kebenaran orang awam memiliki dan membawa senjata api.

"Saya perlu membincangkan perkara ini dengan ketua polis negara. Namun, undang-undang sedia ada sudah jelas -- orang awam yang tidak mempunyai sebarang tugas rasmi tidak dibenarkan membawa senjata api di luar rumah atau di tempat awam.

"Undang-undang baharu ini hanya akan membenarkan pegawai kerajaan yang sedang bertugas membawa senjata api," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Terdahulu, Anutin melawat Sekolah Debsirin Nonthaburi dan diberi taklimat oleh pegawai Polis Diraja Thailand mengenai situasi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan undang-undang yang dicadangkan itu, termasuk sama ada syarat pemilikan senjata api akan diperketat.

"Saya perlu menegaskan bahawa mulai sekarang, apabila polis mengadakan sekatan jalan raya, mereka juga mesti memeriksa sama ada terdapat senjata api. Sesiapa yang didapati membawa senjata api akan berdepan tindakan undang-undang," katanya.

Perdana Menteri itu turut mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan langkah-langkah bagi meyakinkan ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat di sekolah.

"Saya pasti Menteri Pendidikan perlu melaksanakan langkah-langkah tertentu bagi memastikan semua pelajar di sekolah berada dalam keadaan selamat. Namun, lazimnya saya tidak fikir kita pernah mempertimbangkan untuk memasang mesin pengimbas sinar-X bagi memeriksa pelajar sebelum mereka memasuki sekolah. Saya tidak fikir itu sesuatu yang biasa atau normal," katanya.

Pada kira-kira 10 pagi Jumaat, seorang pelajar sekolah itu yang berusia 14 tahun dilaporkan melepaskan tembakan sehingga mengorbankan tiga guru dan tiga pelajar.

Menurut polis, suspek kemudian ditemukan maut di sekolah berkenaan.

Seramai 21 lagi cedera dalam insiden amuk itu dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, dengan lapan daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement