SHAH ALAM: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor perlu mengekalkan skor Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) pada 95 peratus menjelang 2030 dalam memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sasaran itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri di bawah Rancangan Selangor kedua (RS-2) untuk memastikan standard penyampaian perkhidmatan awam yang tinggi bukan hanya tertumpu di kawasan tertentu, sebaliknya dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat Selangor.
“Kita juga akan terus memacu inisiatif pendigitalan dengan penyasaran Perkongsian Perkhidmatan Kerajaan Digital End-to-End ke arah sasaran 85 peratus, supaya perkongsian data secara digital dan perkhidmatan awam lebih cekap, responsif dan berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik.
“PBT harus berusaha lebih gigih untuk memperbaiki perkhidmatan dan kecekapan, meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat harus menjadi keutamaan setiap PBT.
“Segala bentuk aduan dan makluman yang diterima baik di media sosial mahupun secara terus, harus diberi layanan dan perhatian,” katanya ketika membentangkan RS-2 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Amirudin berkata keupayaan penjajaran strategik antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan program negeri juga akan diperkukuhkan untuk memaksimumkan impak pelaburan awam.
Beliau berkata kira-kira 75 peratus hasil negeri kini bergantung pada premium tanah dan cukai tanah, iaitu satu risiko struktural yang perlu ditangani.
“Menerusi RS-2, kita akan mempelbagaikan aliran hasil negeri melalui mekanisme pembiayaan inovatif, meningkatkan penglibatan GLC dan sektor swasta, serta mengoptimumkan tadbir urus entiti negeri.
“Penubuhan Syarikat Pelaburan Induk Negeri yang bersepadu sepenuhnya akan meningkatkan kesepaduan, kecekapan kos dan pulangan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Amirudin berkata penjajaran GLC juga akan memastikan setiap anak-anak syarikat tidak bertindih dalam fungsi dan peranan selain berevolusi dengan sasaran dan matlamat baharu sesuai dengan perkembangan aktiviti ekonomi yang memerlukan Selangor menumpukan sektor ekonomi berasaskan teknologi dan perkhidmatan.
-- BERNAMA