Datang dari keluarga yang menjalankan perniagaan kedai runcit di kampung halaman, Firdaus (bukan nama sebenar) pada awal 90-an menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada usia muda berbekalkan serba sedikit ilmu dan pengalaman.

Bermula dengan bekerja sementara di beberapa tempat, menempuh onak dan duri di ibu kota, selepas lebih 20 tahun, dia kini tergolong dalam kalangan gelandangan yang tidur tidak menentu di kaki lima.

"Apa yang adik tengok sekarang bukan abang yang dulu. Itu kisah tahun 1993. Abang yang dulu bersemangat untuk mencipta kejayaan di kota besar ini,” ceritanya kepada penulis.

Menurutnya, dia tidak memiliki saudara mara di Kuala Lumpur untuk menumpang sementara menunggu pekerjaan tetap, oleh itu dia terpaksa menyewa bilik di rumah tumpangan di sekitar Jalan Petaling.

“Bagaimanapun, abang hanya mampu bertahan (menyewa bilik) sampai lapan bulan sahaja. Selepas itu, abang tidur di Masjid Jamek atau Masjid Negara.

"Kadang-kadang di Stesen Bas Pudu Raya (kini UTC Pudu Sentral) dan kadang-kadang di kaki lima Menara Maybank,” katanya.

Firdaus berkata dia enggan pulang ke kampungnya di Melaka walaupun sudah memperoleh pekerjaan kerana tidak mahu keluarganya mengetahui kedudukan kewangannya dan tidak mahu merisaukan ibu bapanya.

"Abang hanya berhubung melalui telefon sahaja. Abang bercadang untuk balik ke kampung bila keadaan kewangan abang stabil.

“Ada satu ketika abang dapat bekerja dengan sebuah syarikat. Tetapi syarikat itu tak bertahan lama. Ia tutup selepas abang bekerja hampir setahun," keluhnya sambil menambah, susulan itu, dia terpaksa merempat di jalanan setelah gagal melunaskan sewa bilik di pangsapuri Jalan Chow Kit.

Kini, Firdaus hanya mengambil upah sebagai pembantu di pasar-pasar malam sekitar Kuala Lumpur.

“Abang ada cuba juga jadi pengawal keselamatan. Lama juga abang bekerja ketika itu.

“Tetapi, abang tetap tidur di kaki lima ini, sebab gaji pengawal keselamatan kecil dan tidak cukup untuk membayar sewa bilik, apatah lagi rumah,” katanya.

ENGGAN MENYUSAHKAN SESIAPA

Kini, pada usianya 55 tahun, tiada lagi syarikat keselamatan yang sudi menawarkan pekerjaan itu kepadanya.

“Abang masih sihat. Tetapi bila mereka tengok Kad Pengenalan abang, mereka tolak mentah-mentah.

“Sampai ada yang kata pada abang, lebih baik mereka ambil pekerja asing yang jauh lebih muda dan lebih murah,” jelasnya.

Menurut Firdaus lagi, beliau pernah dihalau dari premis sebuah syarikat keselamatan kerana mahu membuktikan dia masih boleh bekerja.

“Akhirnya sekarang ini abang mengalah sahaja. Abang reda dengan apa yang berlaku.

"Keputusan yang abang buat dulu untuk datang ke Kuala Lumpur mungkin satu langkah yang silap,” suaranya seakan kesal.

Jelas Firdaus, dia kini hanya mengharapkan bantuan ihsan orang ramai terutama dari badan bukan kerajaan (NGO) yang kerap kali berkunjung ke Jalan Petaling dan Jalan Hang Lekiu.

Dia mengakui pernah ditahan pihak berkuasa, namun dibebaskan semula kerana tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan keputusan air kencingnya juga negatif.

“Cuma satu yang abang rasa abang boleh bangga dengan diri abang - abang berjaya jaga diri dari terjebak dengan benda-benda tidak berfaedah, seperti dadah dan ragut saku,” katanya.

Katanya lagi, keadaan di Kuala Lumpur begitu berbeza jika mahu dibandingkan dengan suasana semasa era 90-an, kerana waktu itu katanya, laluan kaki lima di Jalan Petaling dan Jalan Pudu sering menjadi lokasi peragut dan sarang penagihan dadah.

“Semua itu berlaku depan mata abang. Polis sudah berjaya buat Kuala Lumpur ini bersih, walaupun tidak 100 peratus,” dia memberikan pandangan.

Tambahnya, terdapat juga operasi pembersihan gelandangan dibuat Pihak Berkuasa Tempatan dari semasa ke semasa, namun dia sempat melarikan diri.

Katanya, dia pernah cuba berada di Pusat Transit Gelandangan (PTG) ketika ia baru dibuka, namun dia bertindak keluar kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa.

ISU GELANDANGAN TIDAK PERNAH SELESAI

Sedang penulis berbual bersama Firdaus, seorang warga emas menghampiri kami.

Beliau menyapa kami dan duduk bersebelahan dengan Firdaus lalu mula bersapaan.

Dari pemerhatian penulis, dapat disimpulkan mereka sudah lama mengenali satu sama lain berdasarkan keramahan yang ditunjukkan satu sama lain.

“Pakcik selalu ke mari?” tanya penulis.

“Pakcik hari-hari berada di sekitar Jalan Petaling ini," katanya, sambil menambah: "Kadang-kadang pakcik duduk ambil angin di Pasar Seni."

“Firdaus ni sudah macam anak pakcik sendiri," tambahnya yang kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Samat (bukan nama sebenar).

Dia yang mengakui berusia 83 tahun meberitahu dia sering berjalan-jalan sendirian di sekitar ibu negara bersama gelandangan, selepas kematian isterinya pada tahun 2000.

“Anak-anak pakcik ada, tetapi pakcik lebih selesa hidup begini. Pakcik tidak mahu susahkan anak-anak pakcik. Biarlah mereka jalani hidup mereka seperti biasa," ujarnya, membuatkan penulis terdiam seketika.

“Pakcik bukan gelandangan, pakcik ada rumah sendiri,” tambahnya yang merupakan seorang pesara polis.

Katanya, dia telah melihat banyak perubahan di Kuala Lumpur namun isu gelandangan bagai tidak pernah selesai.

“Cuma, sekarang ini, khususnya tahun ini, banyak gelandangan sudah tiada, pakcik pun hairan. Yang tinggal hanya pakcik, Firdaus dan yang agak berusia sahaja di kaki lima ini.

"Cuma pakcik risau tentang Firdaus ini sebab dia ada penyakit. Kalau dia tiba-tiba jatuh dan meninggal dunia, macam mana hendak diurus?” ujarnya menimbulkan persoalan.

Bagi dirinya, Abdul Samat menerangkan, dia sentiasa memakai topi dan menyelitkan nombor anaknya untuk dihubungi orang ramai jika berlaku sesuatu kepadanya.

Melihat kepada dua karektor yang berbeza situasi dan hanya punya satu persamaan di sudut itu, penulis berpandangan perlu ada usaha baru bagi menyelesaikan isu gelandangan ini bukan sahaja yang melibatkan orang muda, tetapi juga dari kalangan warga emas.

Sudah pasti segala usaha itu perlu bertitik tolak dari masyarakat yang harus ampuh prihatin terhadap keadaan sekiling dan peduli nasib yang menimpa kalangan ahli keluarga.