Bil air Mei tinggi disebabkan penyelarasan bil April dan Mac - SPAN

Bernama
Jun 1, 2020 22:07 MYT
Sekiranya kaedah pengiraan yang digunakan oleh operator adalah tidak selaras dengan ketetapan yang dikeluarkan oleh SPAN, operator dikehendaki membuat penyelarasan bil pada akaun pengguna yang terlibat.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan bil air bagi Mei 2020 adalah lebih tinggi daripada biasa kerana ia merangkumi penyelarasan bil bagi bulan Mac dan April 2020.
Menjelaskan terdapat banyak aduan pengguna mengenai bil air yang tinggi, SPAN dalam satu kenyataan berkata bil yang dikeluarkan pada bulan Mac dan April adalah mengikut bacaan secara anggaran kerana operator agihan air tidak membuat bacaan meter sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Setelah pembacaan meter secara fizikal dibuat oleh operator agihan air pada bulan Mei, pengiraan bil bagi bulan Mei akan dibuat mengambil kira penyelarasan bil anggaran bulan Mac dan April.
"Selain itu, pengguna domestik menggunakan air lebih banyak daripada biasa semasa tempoh PKP yang berpunca daripada aktiviti rutin yang tertumpu di kediaman masing-masing. Ini telah menyumbang kepada peningkatan bil air," kata SPAN.
BACA: Bil air dua bulan sekali melalui pos - Air Selangor
BACA: COVID-19: Pengecualian bil air, diskaun bil elektrik di Sabah selama tiga bulan
BACA: Air Selangor laksana garis panduan baharu mulai Jun
Menurut SPAN, satu ketetapan kaedah pengiraan bil air sepanjang pelaksanaan PKP telah dikeluarkan untuk dirujuk dan dipatuhi oleh operator agihan air bagi memastikan caj yang dikenakan kepada pengguna adalah pada kadar yang wajar.
"Sekiranya kaedah pengiraan yang digunakan oleh operator adalah tidak selaras dengan ketetapan yang dikeluarkan oleh SPAN, operator dikehendaki membuat penyelarasan bil pada akaun pengguna yang terlibat," kata kenyataan itu.
BACA: Bil TNB: Ramai keliru, tak puas hati - Menteri
BACA: Kaedah prorata pastikan pengguna tidak dikenakan caj berlebihan - TNB
Bagi mengelak kekeliruan berterusan, SPAN meminta operator agihan air untuk membanyakkan sesi penjelasan kepada pengguna berhubung isu itu melalui pelbagai medium penyampaian.
"Pengguna diminta menjelaskan bil air masing-masing dan jika ada lebihan caj setelah penyelarasan dibuat, ia akan direkodkan dalam akaun pengguna untuk bulan seterusnya.
"Bagaimanapun, sekiranya pengguna merasakan bahawa caj yang dikenakan adalah tidak munasabah dan memerlukan penjelasan lebih terperinci, pengguna dinasihatkan menghubungi operator air masing-masing atau mengemukakan aduan ke aduan@span.gov.my," kata SPAN.
-- BERNAMA
#aduan #air #akaun #anggaran #bil air #bil tinggi #caj #caj tidak munasabah #kaedah pengiraan #kekeliruan #operator #operator agihan air #pengguna #penjelasan #penyelarasan bil #PKP #SPAN #Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara