Skip to main content

Malaysia

BN, PAS umum calon Kuala Besut hari ini

71373347064_295x200.jpg
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan calon parti itu bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut dalam satu majlis pada malam ini, beberapa jam selepas pengumuman calon Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN Kuala Besut BN akan mengumumkan calon BN pukul 2 petang ini.

PAS baru-baru ini mengumumkan melantik Naib Presidennya, Husam Musa untuk mengetuai kempen parti itu dalam pilihan raya kecil berkenaan. Beliau akan dibantu oleh pengarah pilihan raya PAS, Dr.
Hatta Ramli dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat.

Mereka akan dibantu oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob serta Abdul Hadi sendiri.

Barisan kepimpinan kanan parti yang dikerah untuk pilihan raya kecil itu dilihat kesungguhan PAS untuk merampas kerusi berkenaan daripada BN sekaligus meletakkan kedudukan DUN Terengganu tergantung dengan masing-masing Pakatan Rakyat dan BN mempunyai bilangan kerusi yang sama.

BN sekarang mempunyai 16 kerusi manakala gabungan PAS dan Parti Keadilan Rakyat membentuk 15 kerusi.

Pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan selepas wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lepas.

PAS kali terakhir menang di kerusi DUN itu pada 1999 dan gagal merampasnya semula dalam tiga pilihan raya yang lalu.

Dalam pilihan raya umum yang baru lalu, BN menang mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail dengan 2,434 undi.

Penamaan calon pilihan raya kecil itu akan diadakan pada Jumaat ini manakala pengundian ditetapkan pada 24 Julai.

Advertisement

Must Watch Video