Barisan Nasional akan membariskan antara 70 hingga 80 calon muka baru untuk bertanding di 222 kerusi Parlimen manakala hampir 50 peratus calon muka baru di 505 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.

Barisan calon itu disifatkan sebagai pasukan transformasi BN serta barisan terbaik yang disusun selepas mengambil kira sentimen dan kemahuan pengundi.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, barisan calon muka baru itu adalah menepati kehendak rakyat yang mahu melihat parti itu melakukan perubahan.

``Kita serah calon terbaik kepada rakyat. Ia bagi memastikan satu kesinambungan antara calon baru dan lama, fokusnya tetap memberi khidmat terbaik kepada rakyat,'' katanya dalam sidang media selepas menyerahkan senarai calon BN kepada pengerusi BN negeri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Najib mengumumkan 91 peratus daripada calon yang dipilih mempunyai kelayakan akademik sekurang-kurangnya di peringkat diploma.

``Kita punya pelbagai kategori penyertaan calon, 31 peratus datang daripada golongan profesional seperti profesor, pegawai tadbir diplomatik dari agensi kerajaan, doktor, peguam dan ulama.

``Kita juga memilih calon yang popular di akar umbi,'' jelasnya.

Sementara itu, Najib meminta calon yang tidak tersenarai supaya tidak bersedih.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa jasa mereka tetap dihargai selain meminta sokongan kepada calon parti yang bertanding.

``Tidak tersenarai bukan bererti mereka gagal, ada masalah atau pincang.

``Tetapi dalam keadaan di mana masyarakat dan pengundi menuntut kepada perubahan maka sebahagian daripada anggota kita terpaksa memberi laluan,'' ujarnya.

Senarai calon itu mula diumumkan oleh parti komponen hari ini manakala UMNO akan mengumumkan calon di negeri-negeri pada Selasa.