Barisan Nasional akan mengumumkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum ke-13 selepas Parlimen dibubarkan, kata Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, manifesto itu kini sedang diteliti dengan terperinci oleh Perdana Menteri yang juga akan membincangkannya dengan pemimpin komponen BN yang lain.

"Perdana Menteri sedang meneliti beberapa perkara terperinci sebelum disiapkan dan selepas itu beliau akan mengadakan perbincangan akhir dengan semua ketua komponen parti untuk dapatkan input.

"Kita jangka selepas Parlimen dibubarkan kita akan bentangkan kepada rakyat," kata Muhyiddin kepada pemberita selepas menghadiri program Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bantar (RTC) di sini, hari ini.

Jelas Muhyiddin, pengumuman manifesto BN selepas pembubaran Parlimen nanti dirasakan bukanlah terlalu awal dan tidak juga terlalu lewat untuk rakyat menilai dan membandingkannya dengan manifesto Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat membentangkan manifestonya yang mengangkat tema Pakatan Harapan Rakyat di Shah Alam, pada Isnin lalu.

Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, manifesto BN bagi peringkat negeri juga sedang dimuktamadkan oleh Pengerusi BN negeri, mengambil kira keperluan di negeri masing-masing.

Sebelum itu, semasa berucap pada majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia, Muhyiddin menyifatkan era kepimpinan Najib sebagai zaman cemerlang dan gemilang, dan merupakan zaman yang terbaik bagi negara ini.

Untuk itu, beliau mengharapkan rakyat khususnya di Kelantan memberikan mandat kepada BN bagi membolehkan usaha transformasi di bawah kepimpinan Perdana Menteri dapat diteruskan.

Jelas Muhyiddin, kerajaan BN berhasrat untuk memajukan seluruh Malaysia sebelum 2020 dan Kelantan tidak harus ketinggalan.

Katanya, pembangunan di Kelantan akan terjejas sekiranya negeri itu tidak dipimpin oleh BN kerana akan timbul masalah dari segi pengurusan tanahh, infrastruktur dan sebagainya.

Pada majlis itu Muhyiddin juga mengumumkan peruntukan RM2.9 juta bagi membekal alat penapis air di 654 buah sekolah dan pra sekolah di seluruh Kelantan.