BUTTERWORTH: Perkhidmatan teksi air boleh diperluaskan ke Seberang Perai sekiranya pelaksanaan pengangkutan itu di bahagian Pulau mendapat sambutan menggalakkan, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Bagaimanapun, beliau berkata hal itu tertakluk kepada keputusan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kerana projek tersebut di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya kerajaan negeri.

"Projek (teksi air) ini adalah merupakan inisiatif oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebab itu perkhidmatannya hanya disediakan di bahagian pulau.

"Tambahan projek ini baru di peringkat percubaan dan belum mula lagi, jadi, kita tak tahu bagaimana maklum balas daripada pengguna, tetapi, sekiranya terbukti ada sambutan mungkin boleh dipertimbangkan namun ia bergantung kepada MBSP yang bertanggungjawab di bahagian Seberang Perai," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Memasak Bubur Lambuk di Masjid Jamek Pokok Machang, Tasek Gelugor di sini, hari ini.

Chow mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng yang mencadangkan supaya perkhidmatan feri air turut diperluaskan ke Seberang Perai kerana kawasan itu juga berdepan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk.

Media pada Disember lepas melaporkan perkhidmatan teksi air yang pertama dan lengkap di negeri ini dijangka memulakan perkhidmatan tahun ini sebagai alternatif perkhidmatan pengangkutan yang mudah dicapai orang awam di kawasan pulau.

Perkhidmatan teksi air merupakan sebahagian daripada rancangan yang dikemukakan dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

-- BERNAMA