Kerajaan sekali lagi memaklumkan bahawa pelanggan boleh duduk lebih empat orang di satu-satu meja di restoran atau kedai makan bergantung kepada saiz meja tersebut.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara yang penting adalah pengusaha restoran dan pelanggan perlu menjaga penjarakan sosial.

Justeru katanya, pelanggan yang datang bersama keluarga tidak lagi perlu duduk berasingan disebabkan peraturan sebelum ini yang menghadkan hanya empat pelanggan sahaja bagi satu meja.

“Jadi, kalau enam (pelanggan) dengan meja yang bersambung dan ada penjarakan sosial, kita benarkan mereka duduk bersama, dan boleh tarik meja untuk sambung.

“Isu berkenaan restoran apabila saya umumkan ramai yang keliru... kita katakan selagi ianya boleh memenuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial, kita tidak hadkan dari segi jumlah yang berada di meja tersebut.

“Sebab kita dengar sebelum ini, apabila kita hadkan empat orang sahaja satu meja, mereka datang satu keluarga dari rumah yang sama, tetapi kerana SOP tersebut dipatuhi secara ketat oleh pengusaha restoran, maka mereka pecahkan walaupun dari satu keluarga… mungkin empat orang satu meja dan dua lagi diasingkan,” katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.