Persoalan mengenai adakah parti komponen Pakatan Harapan dibenarkan untuk menggunakan logo PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dijawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata buat masa ini beliau belum bersedia untuk mengulas perkara itu dan hanya akan menjawab bila sampai waktunya.

"Saya minta maaf sebab tiada pengesahan (tentang penggunaan logo PKR oleh Pakatan).

"Hari ini (ahli politik) cakap lain, esok cakap lain. Nanti saya akan jawab," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Namun, beliau mengakui bahawa penggunaan logo dalam proses pilihan raya memang perlu mendapat persetujuan daripada pihak SPR.



Semalam, Pakatan mengesahkan keempat-empat parti dalam gabungan itu - PKR, DAP, PPBM, Amanah - akan menggunakan logo PKR dalam PRU14.

Selain itu, beliau turut ditanya tentang bidang kuasa SPR dalam mengambil tindakan terhadap parti yang telah memasang bendera di beberapa kawasan walaupun tempoh kempen belum bermula.

Hashim menjawab bahawa tindakan hanya boleh diambil pihaknya selepas sesi penamaan calon.

"Selepas itu baru kita boleh lihat, jika ada parti yang tidak bertanding di situ tetapi masih meletakkan bendera, baru boleh diambil tindakan," katanya.