KUANTAN: Sebutir bom dipercayai tinggalan daripada Perang Dunia Kedua ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Felda Triang 1 di Bera Isnin lepas, kata Ketua Polis Daerah DSP Mansor Samsudin.

Beliau berkata bom itu dijumpai pada 3.30 petang oleh seorang peneroka semasa membersihkan tanah di belakang rumahnya, yang kemudian menghubungi polis.

"Bom dipercayai jenis UXO Arial Bomb seberat 226 kilogram, sepanjang lebih kurang 36 inci dengan 32 inci ukur lilit itu dijumpai dalam keadaan separuh terkeluar dari tanah.

"Mengikut perancangan, bom itu dijangka dimusnahkan esok di lokasi dijumpai kerana penilaian mendapati bom tersebut berisiko jika dialihkan," katanya semasa dihubungi di sini pada Rabu.

Mansor berkata cabaran untuk memusnahkan bom itu ialah kedudukannya yang terlampau dekat dengan rumah peneroka iaitu sekitar 100 meter menyebabkan penduduk tersebut terpaksa dipindahkan terlebih dahulu ke bangunan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berhampiran sebelum operasi memusnahkan bom dilakukan.

Beliau berkata Unit Pemusnah Bom Bukit Aman juga tiba di lokasi kejadian hari ini bagi melakukan kerja persediaan memusnahkan bom.

-- BERNAMA