Perbuatan pihak tidak bertanggungjawab meninggalkan cecair merkuri di sebuah pondok dalam ladang kelapa sawit di Bukit Tok Alang di sini dikatakan menjadi punca pencemaran bahan kimia itu di beberapa buah rumah di kawasan berkenaan Sabtu lepas.

Difahamkan sekumpulan kanak-kanak yang bermain di kawasan itu membawa pulang merkuri terbabit ke rumah masing-masing di Jalan Padang Menora, Kampung Baru, di sini dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu dekat sini pada Khamis.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Muhammad Hayazi Taib berkata pihaknya menemui cecair merkuri itu dalam keadaan terdedah di lantai pondok yang berada dalam kawasan milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu.

"Merkuri itu ditemui dalam kawasan PBAPP tetapi ia bukan milik agensi berkenaan, dipercayai bahan kimia berkenaan dibuang pihak tertentu sebelum ditemui sekumpulan kanak-kanak yang bermain di situ.

"Mereka (kanak-kanak) dipercayai mengambil 300 mililiter (ml) dipercayai diagih-agihkan antara mereka untuk bermain di rumah, kira-kira 50 ml lagi dibawa ke SMK Guar Perahu Khamis lepas sehingga dua buah kelas di situ turut tercemar dengan bahan tersebut," katanya di sini hari ini.

Keracunan merkuri boleh berlaku akibat terdedah kepada merkuri dalam bentuk serap air seperti ‘mercuric chloride’ atau ‘methylmercury; menerusi hiduan wap merkuri; atau dengan memakan makakan dicemari merkuri.

Menurut Pegawai Operasi JBPM Pulau Pinang, M.Vijayan keracunan ini boleh menjejas fungsi otak.

Muhammad Hayazi berkata kewujudan cecair merkuri di kawasan ladang berkenaan tidak menjejas operasi PBAPP dan agensi tersebut juga sedang menyiasat bagaimana ia boleh berada di situ.

Sementara itu, katanya operasi membersihkan kawasan pondok di ladang itu oleh Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) yang bermula pukul 10.30 pagi hari ini selesai lima jam kemudian.

"Pihak bomba menggunakan serbuk sulfur yang ditabur di kawasan berkaitan bagi mengutip kesemua kesan merkuri dari pondok berkenaan.

“Operasi pembersihan oleh 20 pegawai dan anggota bomba Hazmat selesai sepenuhnya pada pukul 3.30 petang ini," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, seramai 15 penduduk di Jalan Padang Menora, Kampung Baru di sini dihantar ke hospital untuk pemeriksaan kerana dikhuatiri terdedah kepada cecair merkuri.

Penduduk berkenaan dilapor menyatakan bahan itu dibawa balik oleh anak mereka yang menjumpainya tidak jauh dari kawasan rumah mereka.

Khamis lalu, seramai 56 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, Bukit Mertajam dikuarantin selepas berlaku tumpahan merkuri di kelas mereka.