IPOH: Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh berjaya memujuk seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh diri di jejantas pejalan kaki di hadapan Ipoh Parade di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.38 malam tadi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pemanggil yang juga rakan lelaki berkenaan, mangsa yang berusia 33 tahun itu dipercayai mengalami tekanan perasaan dan cuba membunuh diri.

“Anggota bomba berjaya memujuk mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Operasi yang diketuai Ketua Operasi BBP Ipoh, Pegawai Bomba Kanan II Zakir Ramdan Mohamad tamat jam 12.17 pagi.


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-76272929 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.