KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan penerbangan membawa beberapa organ dari Kota Bharu ke Subang pada Khamis.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad, berkata pemindahan membabitkan hati, buah pinggang, mata dan tulang itu menggunakan helikopter AW139.
Katanya penerbangan diketuai Timbalan Penguasa Bomba I (TPgB I) Ahmad Fissol Ismail kira-kira jam 8.55 pagi tadi.
“Seramai empat pegawai dan anggota ditugaskan untuk melaksanakan penerbangan menghantar organ dari Lapangan Terbang Kota Bharu ke Subang.
“Penerbangan turut disertai dua orang doktor perubatan yang membawa organ, seterusnya menuju ke IJN, HKL dan Hospital Selayang menggunakan ambulans,” katanya kepada Astro AWANI.
Terdahulu seorang lelaki 23 tahun yang mengalami kecederaan otak serius akibat kemalangan jalan raya menjadi penderma organ selepas disahkan kematian otak di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).
HPUSM dalam kenyataan memaklumkan pengesahan kematian otak pesakit dilakukan pakar anestesiologi dan pakar neurosurgeri mengikut protokol perubatan yang ditetapkan.
Sebagai tanda penghormatan, bangunan HPUSM diterangi cahaya hijau malam tadi ketika proses pembedahan pendermaan organ sedang berlangsung.
Simbolik itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan HPUSM menyokong kempen kesedaran pendermaan organ kebangsaan, selain mengenang jasa penderma yang disifatkan sebagai 'wira tidak didendang'.