Skip to main content

Malaysia

Tahanan rumah Najib: Guna butiran minit untuk berhujah, jangan pertikai pendedahan – Projek SAMA, Bersih

Projek SAMA dan Bersih menggesa penyokong Datuk Seri Najib Razak mempertahankan keputusan tahanan rumah beliau secara terbuka, bukannya mempersoalkan pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, di samping menyokong gesaan pendedahan minit pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018. - Gambar fail/Astro AWANI
Projek SAMA dan Bersih menggesa penyokong Datuk Seri Najib Razak mempertahankan keputusan tahanan rumah beliau secara terbuka, bukannya mempersoalkan pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, di samping menyokong gesaan pendedahan minit pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018. - Gambar fail/Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Projek SAMA dan Bersih menggesa penyokong Najib Razak mempertahankan keputusan tahanan rumah secara terbuka, bukan mempersoalkan pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan.
  • Kedua-dua pertubuhan menyokong pendedahan minit mesyuarat sebagai amalan ketelusan, termasuk bagi kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018.
  • Mereka menegaskan keputusan berkepentingan awam mesti tahan diuji penelitian masyarakat demi ketelusan, kebertanggungjawaban dan perpaduan negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyokong Datuk Seri Najib Razak digesa tampil mempertahankan keputusan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu secara terbuka, dan bukannya mempersoalkan pendedahan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Menerusi kenyataan pada Khamis, Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA) dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, langkah mempertikaikan pendedahan minit mesyuarat yang menurut mereka dilakukan susulan prosiding mahkamah itu hanya memberi isyarat negatif seolah-olah keputusan berkenaan tidak dapat dipertahankan.

"Jika mereka benar-benar percaya bahawa tahanan rumah Najib adalah wajar, pendedahan itu telah memberikan mereka butiran penuh untuk membina pertahanan yang kukuh dan meyakinkan serta mengalihkan pendapat umum menyokong keputusan tersebut," kata kedua-dua pertubuhan itu dalam kenyataan bersama pada Khamis.

Advertisement

Menurut Projek SAMA dan Bersih, tindakan mempersoalkan pendedahan minit berkenaan bukan sahaja bertentangan dengan pendirian penyokong bekas Ahli Parlimen Pekan itu, malah menggambarkan sikap takut kerana salah.

"Mempersoalkan pendedahan minit tersebut menyampaikan mesej negatif, seolah-olah keputusan itu tidak dapat dipertahankan, dan bertentangan dengan pendirian yang dinyatakan mereka, ia merupakan satu cara berselindung untuk mempersoalkan keputusan itu," tegas mereka.

Advertisement

 

Pendedahan minit dan prinsip ketelusan pengampunan

Dalam masa sama, kedua-dua pertubuhan masyarakat sivil itu menyokong gesaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan agar minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung pengampunan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 turut didedahkan kepada umum.

"Seruan beliau menjelaskan bahawa pendedahan tidak seharusnya dianggap sebagai ketidaksetiaan atau pembangkangan terhadap Raja, sebaliknya sebagai sebahagian daripada ketelusan dalam pelaksanaan kuasa perlembagaan," jelas kenyataan itu.

Projek SAMA dan Bersih mencadangkan agar pendedahan minit serta dokumen berkaitan dijadikan amalan bagi semua lembaga pengampunan di negara ini, tertakluk kepada pengecualian atau pemadaman maklumat atas faktor perlindungan data peribadi, maklumat istimewa dan keselamatan negara.

"Sementara belas kasihan bermula di tempat undang-undang berakhir, pelaksanaannya melalui pengampunan seharusnya, seperti undang-undang, konsisten dan dilihat konsisten," ujar mereka.

 

Kebertanggungjawaban awam dan kepentingan negara

Mengulas lanjut, kenyataan itu menegaskan bahawa sebarang keputusan melibatkan kepentingan awam mesti mampu bertahan di bawah penelitian masyarakat sebagai asas tadbir urus moden yang telus dan bertanggungjawab.

"Keputusan awam mesti tahan diuji penelitian awam, dan beginilah masyarakat moden ditadbir, dengan ketelusan dan kebertanggungjawaban," kata kedua-dua pertubuhan tersebut.

Justeru, Projek SAMA dan Bersih menyeru semua pihak mengutamakan rasional serta mengetepikan perbezaan pendapat berhubung isu pengampunan dan tahanan rumah Najib demi memperkukuh perpaduan negara.

"Tidak kira di mana pendirian kita mengenai pengampunan dan tahanan rumah Najib, kepentingan bersama kita sebagai rakyat Malaysia jauh lebih besar daripada perbezaan kita mengenainya," kata mereka.

 

Must Watch Video

Advertisement