KRUBONG: Empat anak Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba yang lemas ketika operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Melaka akan menerima bantuan pendidikan sewajarnya.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Fazmi Sayid Mohamad yang mengadakan lawatan di kediaman Allahyarham Mohd Diya di Taman Krubong Jaya pada Jumaat.

Menurut Syed Fazmi, kunjungannya mewakili Perdana Menteri adalah bagi memastikan keluarga Allahyarham mendapat kebajikan yang mencukupi.

"Perdana Menteri berasa sangat dukacita akan kehilangan anggota bomba dalam operasi menyelamat dalam banjir tersebut.

"Kita di sini sampaikan sumbangan peribadi daripada Perdana Menteri, Ranhill (syarikat korporat pembekal kuasa dan tenaga) juga mengambil inisiatif membantu anak-anak arwah dari segi pendidikan dari kecil sehingga dewasa. Ranhill mengambil mereka sebagai anak angkat," kata beliau.

BACA: Anggota bomba lemas ketika misi menyelamat meninggal dunia

BACA: Jenazah anggota bomba lemas selamat dikebumi

Mengulas lanjut, jelas Syed Fazmi, anak sulung Allahyarham yang berusia 18 tahun akan dibantu untuk melanjutkan pelajaran di Kolej Vokasional dalam masa terdekat.

"Anak arwah sulung berumur 18 tahun, beliau sangat berminat jurusan automotif di Kolej Vokasional.

"Kita telah berhubung dengan Kementerian Pendidikan, dan Insya-Allah Kementerian Pendidikan akan mengambil maklum dan ambil tindakan membantu anak beliau masuk ke Kolej Vokasional dalam jurusan automotif, " katanya lagi.

Dalam kejadian pukul 4 petang Rabu lalu, Allahyarham Mohd Diya, 46, dipercayai lemas ketika sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.

Allahyarham dikejarkan ke Hospital Melaka sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3.11 pagi Khamis.