Skip to main content

Malaysia

Bomba selamatkan 19 individu terperangkap insiden kepala air di Baling

[TB]_TERPERANGKAP KEPALA AIR_BOMBA
Anggota bomba melaksanakan kaedah 'crossing river' menggunakan tali, untuk menyelamatkan mangsa seorang demi seorang dalam kejadian kepala air di Lata Debu semalam. - Foto JBPM Kedah
Advertisement

BALING: Seramai 19 individu yang terperangkap dalam kejadian kepala air di Lata Debu, di sini, semalam, berjaya diselamatkan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, seramai lapan anggota menempuh pendakian sejauh dua kilometer sebelum tiba di lokasi kejadian sekitar jam 4 petang itu

"Saya yang turut sama dalam operasi itu tiba di lokasi, mendapati seramai 19 individu yang terdiri daripada sembilan wanita dan 10 lelaki berusia antara 20 dan 25 tahun, sedang terperangkap dalam kejadian kepala air.

"Semua mereka dipercayai dalam perjalanan turun dari bukit, terperangkap selepas hujan lebat mengakibatkan arus deras, sehingga berlaku kepala air.

“Bomba terpaksa melaksanakan kaedah 'crossing river' menggunakan tali, untuk menyelamatkan mangsa seorang demi seorang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Zulkhairi berkata, bomba mengambil masa lebih empat jam sebelum kesemua mangsa berjaya dibawa keluar.

Image
[INSERT]_TERPERANGKAP KEPALA AIR 2_BOMBA
Foto JBPM Kedah

“Cabaran yang perlu dilalui ialah batu licin serta arus sungai yang laju. Hujan lebat hampir dua jam yang melanda daerah ini hari ini menyebabkan berlaku kepala air.

"Semua 19 individu terbabit mula mendaki di Lata Debu pada jam 8 pagi dan terperangkap kepala air ketika hendak turun," katanya.

Zulkhairi berkata, kesemua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Operasi tamat pada jam 8.10 malam dan kesemua mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, " katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai bukan penduduk tempatan sebaliknya orang luar yang datang untuk mendaki di situ.

Image
[INSERT]_TERPERANGKAP KEPALA AIR 1_BOMBA
Foto JBPM Kedah

Beliau berkata, ini adalah kes kedua operasi membabitkan kejadian di Lata Debu bulan ini. Kali pertama berlaku pada Ahad minggu lalu yang membabitkan seorang pengsan dan dua lagi pendaki sesat.

Untuk rekod, kawasan Lata Debu mempunyai pemandangan yang cantik dan menjadi tarikan pendaki.

 

 

Must Watch Video

Advertisement