Sebuah keluarga yang dalam perjalanan dari Paya Terubong ke Balik Pulau berdepan detik cemas apabila kereta yang dinaiki mereka dihempap bongkah batu yang runtuh secara tiba-tiba ketika melalui Jalan Tun Sardon, Pulau Pinang pada petang Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu, kereta jenis Volkswagen Polo itu tidak sempat mengelak apabila bongkah batu runtuh dari tebing bukit dan menimpa bahagian kiri hadapan kereta mangsa.

Mangsa bagaimanapun selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan trafik sejauh satu kilometer di kedua-dua belah arah jalan berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Negeri memaklumkan pihaknya menerima panggilan dan bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati bongkah batu besar seberat 20 tan telah jatuh dan menimpa sebuah kenderaan jenis Volkswagen manakala sebuah lagi kenderaan jenis Proton Persona hanya terkena serpihan batu di bahagian cermin belakang.

Usaha mengalihkan batu di laluan berkenaan sedang dijalankan pihak berkuasa.

Sementara itu pihak jabatan kerja raya yang berada di tempat kejadian memaklumkan akan melakukan kerja-kerja kecemasan untuk mengelakkan batu-batu lain jatuh ke atas jalan raya.