Kesilapan rekaan dan aspek pemantauan adalah antara perkara yang diteliti Kementerian Kerja Raya berhubung kejadian bongkah konkrit terjatuh menghempap sebuah kereta di Projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara berkenaan sedang disiasat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, kementerian akan mengumumkan tindakan bakal diambil selepas semua laporan terbabit diterima.

Menurutnya, tindakan yang akan diumumkan itu juga adalah untuk jangka masa panjang dalam memastikan keselamatan di tapak pembinaan sentiasa dijaga.

BACA: Wanita nyaris maut bongkah konkrit jatuh atas kereta

“Secara asasnya kita melihat daripada perspektif berbeza. Satu daripada perspektif rekaan, adakah ada kesilapan dalam rekaan itu. Kedua, dari aspek pemantauan.

“Ketiga, peranan jurutera yang memeriksa projek tersebut dan dari perspektif keselamatan, juga dari pengurusan trafik,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus penggiat industri di Kompleks Kerja Raya di sini pada Selasa.


Turut hadir dalam program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada soalan wartawan mengenai langkah boleh diambil pihak kementerian berhubung insiden yang berlaku di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) baru-baru ini.

BACA: Bongkah konkrit hempap kereta: DBKL pantau, perkasa peraturan tapak pembinaan

Sabtu lepas, media melaporkan seorang wanita berusia 25 tahun nyaris maut apabila kenderaannya dihempap kepingan konkrit bersaiz satu meter persegi dalam kejadian kira-kira 5.45 petang.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan orang awam dan hanya cedera di tangan kirinya sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menerima rawatan.

Susulan itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) mengarahkan pemberhentian serta-merta bagi kerja pembinaan di kawasan Bandar Tasik Selatan itu.