Seramai 2,148 individu di negeri Kedah ditahan polis kerana didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Mac lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad, jumlah yang ditahan itu adalah sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

Beliau berkata, daerah Kota Setar mencatatkan bilangan paling ramai ditahan iaitu 527 orang diikuti Kuala Muda (538), Kubang Pasu (238) dan Langkawi (351).

"Seramai 1,681 orang dituduh di mahkamah. Daripada jumlah itu, 1,334 orang telah dijatuhi hukuman manakala bakinya mohon dibicarakan.

"Bagi kes yang telah dikeluarkan kompaun, seramai 525 orang telah dikenakan kompaun akibat pelanggaran perintah kawalan pergerakan (PKP)," kata Sapii.

Kesemua mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar PKP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Sapii berkata kesemua individu yang ditahan berusia di antara 16 dan 60 tahun dari sekitar negeri ini.

Tambahnya, kebanyakan mereka memberi pelbagai alasan iaitu rindu kekasih, bosan, mahu tangkap ikan, main gitar dan berjumpa kawan.


Selain itu, ada juga yang ditahan ketika bersukan dengan bermain bola keranjang, futsal, berzumba dan bermain snooker walaupun aktiviti itu tidak dibenarkan sepanjang PKP dan PKPB.

Bagaimanapun, katanya, kesemua alasan yang diberikan tidak diterima melainkan mereka mempunyai surat kebenaran.

Sapii berkata, selain itu, individu yang cuba merentas negeri secara haram untuk pulang ke kampung ketika Aidilfitri turut dikompaun RM1,000.

Sementara itu, Sapii turut memaklumkan kes jenayah di negeri ini turun sebanyak 36 peratus ketika PKP dan PKPB.