Dasar struktur seperti pembangunan modal insan dan sosial yang dilaksanakan kerajaan berjaya menaikkan kedudukan Malaysia daripada tangga ke-47 ke tangga 42 berdasarkan Laporan Kebahagiaan Dunia.

Memetik jawapan bertulis Perdana Menteri kepada Dewan Rakyat, Bantuan Rakyat Malaysia (BR1M), Klinik 1Malaysia, Klinik Kesihatan (KK) dan penambahbaikan pengangkutan awam antara faktor yang mempengaruhi data tersebut.

Malah, pencapaian tersebut turut disokong oleh peningkatan dalam aspek sokongan sosial, tahap pendapatan per kapita dan kebebasan membuat pilihan.

"Selain itu, aspek pembangunan sosial juga diberi tumpuan dalam usaha membantu rakyat menangani beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Ini termasuklah pemberian BR1M kepada sejumlah tujuh juta isi rumah berpendapatan rendah yang benar-benar memerlukannya, kemudahan 334 Klinik 1Malaysia yang menawarkan perkhidmatan pada kadar yang amat minimal iaitu serendah RM1.

"Terdapat juga 1,061 KK yang beroprasi seluruh Malaysia di mana sebanyak 242 KK tersebut dilengkapi dengan perkhidmatan pakar.

"Usaha untuk menambah baik pengangkutan awam juga akan diteruskan untuk memudahkan rakyat mendapat akses bagi memperluas aktiviti mencari pekerjaan, beriadah, mendapat keperluan harian dan merapatkan jalinan perhubunga," memetik jawapan bertulis Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (BN-Tambun) yang meminta Perdana Menteri menyatakan di manakah kedudukan Malaysia dalam 'ranking' World Happiness Report 2017 dan apa tindakan Kerajaan bagi meningkatkan 'ranking' negara.

Mengikut rekod, peningakatan Malaysia dalam carta tersebut berlaku selama dua tahun berturut-turut sejak tahun 2015.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia menduduki tempat ketiga selepas Singapura (26) dan Thailand (32) serta jauh lebih baik jika dibandingkan dengan anggota ASEAN yang lain misalnya Filipina (72) dan Indonesia (81).

Malah, kedudukan Malaysia juga jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Itali (48), Jepun (51), Korea Selatan (56) dan Hong Kong (71).