SAN FRANCISCO: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian bahawa graduan atau lepasan pelajar Malaysia di luar negara wajar untuk menimbang pengalaman sebelum pulang ke tanah air.

Walaupun pandangan sedemikian disifatkan beliau bertentangan pandangan tradisional, namun, pengalaman dan ilmu itu akan menjadikan seseorang graduan lebih berwibawa.

“Tidak semua perlu pulang (ke tanah air) dengan segera. Mereka boleh bekerja dan hantar duit pulang (ke Malaysia).

“Sebagai contoh kepada pandangan tradisional, sejurus selepas graduasi, sama ada PhD atau sarjana, anda perlu balik dan berkhidmat.

“Saya nak cadangkan perubahan, biarkan mereka timba pengalaman, syarikat korporat atau syarikat pemula untuk menggajikan mereka.

“Tak kisah sama di San Francisco atau di New York, biar mereka timba pengalaman dan ia akan memanfaatkan negara apabila mereka pulang ke (Malaysia) nanti.

“Kalau mungkin mereka tidak mahu balik lagi, bagi duit lebih kepada ibu bapa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan umum di University of California, Berkeley di sini pada Selasa petang waktu tempatan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, ketika ini terdapat kumpulan yang sedang meneliti berkenaan isu ‘brain drain’ yang dialami Malaysia ketika ini.

“Kita ada kumpulan ketika ini untuk teliti apa yang berlaku di beberapa negara, apa yang menyebabkan mereka tidak mahu balik, tapi itu termasuk juga bagaimana ekonomi diuruskan,” katanya.

Tegas Perada Menteri, ketika ini, Malaysia perlu melakukan reformasi yang sebenar serta pendekatan yang sukar untuk memastikan ekonomi Malaysia terus kukuh dan mampu berdaya tahan dalam menarik pakar dan intelektual tempatan kembali bekerja di Malaysia.